Jelita Prihatin 2019: Lindungi Diri Daripada Jenayah Siber

Selain buli siber, ini jenayah siber yang perlu anda tahu

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, jenayah siber merujuk kepada aktiviti jenayah yang dilakukan menggunakan rangkaian komputer atau peranti perkakasan dengan niat untuk merosakkan reputasi mangsa, serta mencederakan mangsa dari segi fizikal dan mental. Selalunya, komputer atau peranti mungkin menjadi pemudah cara, agen atau sasaran jenayah. Buli siber adalah salah satu jenayah siber yang sering melibatkan kanak-kanak dan juga remaja. Selain daripada buli siber, terdapat beberapa jenayah siber lain yang boleh memudharatkan anda dan juga keluarga. Ketahui jenis jenayah siber agar anda tidak menjadi mangsa.

Gambar: Shutterstock

Perisian Kuda Trojan

Trojan adalah sejenis perisian hasad (malware) yang selalunya menyamar sebagai perisian yang sah. Pengguna biasanya ditipu melalui kaedah kejuruteraan sosial supaya memuat dan menjalankan Trojan dalam sistem komputer mereka. Ia membolehkan penjenayah mengintip, mencuri data sensitif dan menghalang akses kepada data anda bagi mendapatkan wang tebusan, serta mengakses sistem komputer anda dari jauh.

Perisian Tebusan (Ransomware)

Perisian hasad ini mengubah suai atau menyekat data dalam komputer anda supaya ia tidak berjalan dengan betul atau anda tidak lagi boleh menggunakan data tertentu. Penjenayah hanya akan memulihkan prestasi komputer atau membenarkan anda mengakses data  setelah anda membayar wang tebusan yang diminta. Menurut pakar, walaupun wang tebusan dibayar, tiada jaminan untuk mengakses semula data  atau komputer anda, atau data dan sistem komputer tidak terjejas.

Nafi Khidmat Teragih (DDOS)

Dalam serangan ini, beratus-ratus atau beribu-ribu mesin yang terjejas (pelbagai komputer dan sambungan internet) digunakan untuk membanjiri akses ke sistem yang disasarkan. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, mangsa serangan ini terdiri daripada sistem sasaran akhir dan semua sistem yang digunakan dengan niat jahat dan dikawal oleh penggodam. Serangan ini selalunya diagihkan ke seluruh dunia melalui botnet.

Pengelog Ketukan Kekunci (Keystroke Logger)

Perisian hasad ini membolehkan penggodam mencuri data peribadi seperti data perbankan internet dan kata laluan e-mel. Ia biasanya dipasang pada mesin mangsa tanpa disedari oleh mereka menerusi pelbagai cara seperti memancing data (phishing), mengklik pada pautan, atau memuat turun imej atau video.

Memancing Data (Phishing)

Memancing data (Phising) terjasi apabila mangsa menerima e-mel yang kononnya sah (sering kali mendakwa sebagai e-mel daripada bank atau syarikat kad kredit) dengan pautan yang membawa kepada laman web hasad. Apabila pautan itu diklik, komputer peribadi kemudiannya dijangkiti virus yang akan mencuri maklumat sensitif anda seperti kata laluan akaun bank dan sebagainya.

Bank dan Kad Kredit

Berhati-hati apabila anda menerima e-mel, panggilan telefon  atau khidmat pesanan ringkas yang mendakwa mereka daripada bank atau syarikat kad kredit anda, atau entiti komersial yang perkhidmatannya anda langgani. Penjenayah menggunakan saluran ini untuk menipu anda supaya anda memberikan maklumat sensitif seperti maklumat peribadi, kad kredit, atau log masuk perbankan Internet.

Pencurian Identiti

Penjenayah siber mencuri maklumat peribadi mangsa untuk manfaat mereka sendiri. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, sesetengah maklumat, seperti tarikh lahir, nombor kad pengenalan atau nama keluarga ibu sebelum berkahwin, mungkin kelihatan tidak berbahaya. Namun, memandangkan kebanyakan syarikat biasanya meminta maklumat ini untuk tujuan pengesahan, penjenayah boleh menggunakannya untuk mengakses maklumat sensitif anda yang lain. Ia juga boleh dilakukan melalui Trojan atau Phishing.

Penipuan E-Dagang

Urus niaga e-dagang yang paling popular yang dikaitkan dengan penipuan berlaku dalam industri penerbangan, diikuti oleh peruncitan am, elektronik, pentiketan, telekom, pemindahan wang, permainan, pakaian dan lain-lain. Penjenayah menggunakan kaedah seperti memancing data dan mencuri identiti untuk memudahkan jenayah dilakukan.

Sumber: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Klik dengan bijak)

Bacaan lanjut: APA TINDAKAN BERDEPAN BULI SIBER