Jadikan Kerjaya Satu Keseronokan Bukan Keluhan

Kerap terdengar keluhan ‘bosan’ daripada individu yang bekerja mengenai tugas sama perlu dilakukan berulang kali. Kenapa keluhan sering keluar dikeluarkan?

Bagi kebanyakan individu, kerjaya bermaksud mempunyai pekerjaan mengikut bidang pilihan masing-masing seperti menjadi guru, peguam, jurutera, polis dan pelbagai bidang tugas lagi. Secara umumnya juga, kerjaya adalah suatu tugas berterusan, mempunyai kesinambungan yang berkaitan dengan sikap dan juga pengalaman yang berlaku dalam kehidupan seseorang individu.

Gambar : INGimage

Nazirul Nazri Ab Aziz, Kaunselor di Global Institutes of Studies berkata, kerjaya juga didefinisikan sebagai persepsi seseorang, sikap dan tingkah laku yang berkaitan dengan aktiviti kerja individu tersebut.

“Cuba tanya diri anda, ‘Apakah kerjaya saya sekarang?’, ‘Adakah saya gembira dengan kerjaya sekarang ini?’ Tahniah saya ucapkan sekiranya anda memberi jawapan yang anda sedang seronok dengan kerjaya pilihan anda sekarang. Tapi sekiranya anda memberi jawapan yang anda tidak seronok dengan kerjaya anda sekarang, sila lakukan sesuatu dengan segera sebelum ia terlambat,” katanya.

Persoalan yang sering menjadi tanda tanya ialah mengapa sesetengah  individu menganggap kerjaya mereka adalah sesuatu yang tidak menyeronokkan. Beberapa jawapan yang sering didengar daripada mereka yang bekerja tidak kira sama ada di sektor awam dan swasta, antara alasan yang menyebabkan mereka tidak seronok bekerja ialah:

  1. Ketua yang tidak memahami.
  2. Berasa diri tidak dihargai oleh majikan.
  3. Kerja banyak dan perlu melakukan banyak pekerjaan dalam satu masa.
  4. Rakan pejabat.
  5. Kecederaan Emosi
  6. Gaji tidak berbaloi

Kesemua alasan ini dijadikan punca oleh individu yang merasa tidak seronok dan tiada kepuasan dalam bekerja. Lebih memburukkan keadaan,  prestasi kerja individu turut terkesan apabila mereka sering merungut tanpa melakukan sesuatu yang positif terhadap diri mereka dalam memastikan kemajuan  kerjaya sendiri.

Oleh yang demikian, elak beri alasan dan ubah gaya kerja anda dengan melakukan beberapa panduan ini dan jadikan kerjaya anda satu keseronokan supaya tidak perlu bosan atau merungut mengenainya lagi.

  1. Pasang Niat Yang Baik Sebelum Masuk Kerja

Semua perkara baik yang kita lakukan perlu dimulakan dengan niat yang betul. Ambil masa beberapa minit sebelum melangkah ke tempat kerja untuk memasang niat atau matlamat anda pada hari itu supaya semuanya akan berlaku dengan mudah dan baik sahaja.

  1. Hias Meja Kerja

Tempat kerja adalah rumah kedua kerana hampir seharian anda berada disana. Cuba untuk menghias ruang kerja mengikut cita rasa sendiri supaya setiap kali apabila ingin mula bekerja anda akan berasa sangat gembira melihat meja yang dihias. Tapi jangan terlalu berlebihan sehingga penuh hiasan di atas meja.

  1. Pasang Muzik Sebagai Halwa Telinga

Muzik mampu memberikan mood yang baik. Tidak kira apa jenis rentak sekalipun asalkan ianya sedap didengar, lembut untuk hati dan tidak terlalu mengganggu fokus kerja dan orang sekeliling. Namun sekiranya ia mengganggu rakan yang lain, gunakan fon kepala untuk pendengaran anda sahaja. Menurut kajian saintifik, muzik dapat meningkatkan tahap fokus bekerja selain dapat mengurangkan tekanan.

  1. Sentiasa Melakukan Pergerakan

Cuba lakukan pergerakan sekiranya duduk terlalu lama. Duduk sepanjang masa tidak elok dan boleh memberi kesan terhadap kesihatan tubuh badan anda. Jadi apa kata cuba berjalan keluar sebentar, bersenam ringan dan sebagainya.

  1. Jaga Selftalk.

Apa itu selftalk? Selftalk adalah kata-kata anda terhadap diri anda sendiri atau pun monolog dalaman yang berlaku dalam diri individu. Sekiranya anda dapat mengawalnya dengan baik, sudah pasti anda dapat menguasai diri anda untuk menjadi lebih berjaya. Jadi mulai sekarang ucap perkataan yang baik sahaja tentang diri dan kerjaya anda sekarang.

  1. Elak Perkara  Negatif

Perkara negatif memang boleh membunuh keseronokan ketika anda berada di pejabat. Anda wajib mengelak daripada rakan kerja yang gemar menimbulkan kontroversi, gosip dan mereka yang membawa aura negatif. Sentiasa wujudkan aura positif diri supaya ianya menjadi perisai daripada aura negatif yang cuba membunuh keseronokan anda.

  1.       Beri Ganjaran Kepada Diri Sendiri

Kalau anda rasa diri tidak dihargai oleh majikan, diri sendiri juga boleh melakukannya. Tidak kisah apa jua peningkatan yang anda lakukan, tidak perlulah untuk menunggu bos atau rakan anda memberi pujian, cukup diri sendiri sahaja yang tahu. Ganjaran ini tidak perlu menggunakan kos, tetapi cukup untuk anda merasa kepuasan seterusnya membantu diri sentiasa seronok dengan kerjaya.