Ini Cara Mudah Untuk Berjimat Menjelang Hari Raya

Jelita kongsikan cara mudah untuk anda berjimat ketika menjelang Aidilfitri.

Sudah menjadi lumrah setiap kali menjelang Aidilfitri, ramai yang akan berbelanja lebih untuk melakukan persiapan untuk menyambut perayaan yang datang setahun sekali itu. Tidak salah untuk berbelanja namun jangan sehingga melibatkan pembaziran dan akhirnya membebankan diri anda sendiri. Oleh itu, Jelita kongsikan cara mudah untuk anda berjimat ketika menjelang Aidilfitri.

Gambar: Shutterstock

Senaraikan Perbelanjaan Yang Perlu

Sebelum anda membuat keputusan untuk membeli baju baharu, adalah disarankan untuk melihat baju yang ada di dalam almari terlebih dahulu. Jika baju yang ada masih lagi cantik dan elok serta baru sahaja dipakai dalam beberapa kali, adalah lebih baik tidak membeli terlalu banyak baju baru lagi. Bagaimanapun, bagi kanak-kanak, anda mungkin perlu membelikan baju baru kerana mereka cepat membesar. Pastikan anda mengutamakan yang perlu sahaja.

Gunakan Kaedah Sampul

Asingkan bajet untuk item yang dikehendaki dalam satu sampul yang berasingan. Ini akan memudahkan anda untuk berbelanja mengikut bajet yang sudah di tetapkan dan mengelakkan anda daripada berbelanja lebih daripada apa yang sudah ditetapkan.

Membeli-belah Di Kedai Yang Menawarkan Harga Berpatutan

Untuk lebih jimat, anda boleh pergi membeli-belah ke kedai atau butik yang menawarkan harga yang lebih rendah atau yang menawarkan baucar dan juga diskaun sempena Hari Raya ini.

Tinggalkan Kad Kredit Di Rumah

Tinggalkan kad kredit di rumah untuk mengelakkan berlakunya masalah hutang yang banyak. Sudah menjadi kebiasaan apabila melihat jualan, pasti anda akan automatik tertarik untuk berbelanja. Untuk mengelakkan daripada perkara itu berlaku, adalah lebih baik jika anda meninggalkan kad debit atau kad kredit di rumah.

Kurangkan Jumlah Duit Raya

Memberikan duit raya itu adalah satu sedekah dan bukannya perkara wajib. Jadi, jika anda tidak mempunyai bajet duit raya yang mencukupi, anda tidak digalakkan untuk memberikan duit raya namun sekiranya anda masih mahu memberikan duit raya, anda boleh mengurangkan jumlah duit raya yang ingin diberikan. Anda hanya perlu peruntukkan duit raya untuk ibu bapa dan ibu bapa mertua sahaja.

Guna Semula Langsir

Langsir sering menjadi tumpuan utama apabila tibanya Hari Raya. Setiap tahun, langsir di rumah pasti akan ditukar dengan langsir yang dibeli baru. Daripada anda membeli kain langsir yang baru, anda digalakkan untuk menggunakan langsir yang ada sahaja. Jika anda inginkan kelainan, anda boleh jadi kreatif dengan ubah suai atau pun menambah manik pada langsir.

Hiasan Rumah DIY

Sama seperti langsir, anda tidak perlu membazir dengan membeli perabot baru setiap kali menjelang Aidilfitri. Jika anda inginkan kelainan, anda boleh mengenakan sentuhan hiasan dengan mengecat, ubah susunan perabot, menukar hiasan bunga atau meja dan sebagainya.

Pakaian Raya Sedondon

Jika anda inginkan busana Raya yang sedondon dengan ahli keluarga, pastikan anda membuat tempahan awal agar anda boleh berunding dengan tukang jahit anda untuk mendapatkan harga yang lebih berpatutan.

Buat Sendiri Kuih Raya

Untuk lebih jimat dan jika anda mempunyai masa yang terluang, anda boleh buat sendiri kuih raya anda. Ini dapat mengelakkan daripada pembaziran dengan membeli kuih raya yang rasanya belum tentu menepati citarasa anda. Jika anda membuat sendiri kuih raya, kosnya lebih rendah, kualiti terjamin dan rasanya boleh dicuba terlebih dahulu.