Langkah Bijak Dalam Mengemas Rumah

Sebagai wanita yang berkerja daripada rumah, selain mendapat kelulusan dalam reka bentuk dalaman, saya terdorong untuk berkongsi serba sedikit panduan berkenaan langkah mengemas dan menjaga kebersihan rumah secara menyeluruh. Bagi memastikan setiap ruang kediaman terzahir kemas dan bebas cela, berikut adalah apa yang boleh anda praktikkan mulai sekarang:

1. Disiplin dalam kebersihan
Pupuk nilai menjaga kebersihan kediaman sendiri yang membuatkan anda sentiasa rajin dan mahu mengemas. Tiada gunanya jika rumah tampak mewah dan dihias cantik, tetapi malangnya banyak kekotoran jelas terlihat, selain dipenuhi dengan barang yang tidak tersusun rapi.

2. Akur peranan masing-masing
Setiap ahli keluarga memainkan peranan dalam soal kebersihan rumah. Jangan hanya bergantung kepada kaum wanita atau pembantu rumah semata. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik, selain bijak dalam mengarah anak untuk menolong dalam tugasan mengemas. Jika sudah dididik sedari kecil, anak pasti akan menjadikan ia suatu habit dan dapat memudahkan kerja anda kelak.

3. Sediakan jadual mengemas
Cara lain untuk memastikan setiap penghuni ringan tulang adalah dengan mewujudkan satu jadual membersih dan mengemas. Anda boleh gunakan aplikasi Spotless, di mana anda boleh masukkan jenis tugasan yang perlu dibuat bersama kekerapannya. Sebagai contoh, mop dan cuci tandas seminggu sekali, tukar cadar dua minggu sekali, bersihkan peti sejuk dua bulan sekali dan banyak lagi. Aplikasi ini dapat mengingatkan anda akan tugasan yang belum dilakukan dengan memberi notifikasi.

4. Buang barang tiada fungsi
Anda juga boleh mengadakan spring cleaning misalnya setiap tiga bulan sekali. Singkirkan segala barang atau baju yang tidak boleh dipakai lagi. Jangan jadikan kediaman umpama muzium. Barang lain seperti surat khabar lama, beg kertas dan sebagainya boleh dibawa untuk dikitar semula. Cuba kurangkan kesesakan dalam rumah dengan barang yang perlu sahaja dan buang habit mengumpul barang yang tidak diperlukan.

5. Bersihkan secepat mungkin
Jika anda nampak sebarang kotoran atau sampah di sudut kediaman, singkirkan ia dengan cepat tanpa berlengah. Jangan tunggu orang lain untuk melakukannya.

6. Melabur dalam perkakas yang baik
Keluarkan sedikit duit untuk membeli perkakas seperti vakum tangan yang dapat memudahkan anda membersihkan sudut sempit dengan mudah. Biasanya ruang seperti ini adalah lokasi berkumpulnya rambut gugur dan habuk.