Jom Kenali Jenis Sofa!

Elemen terpenting dalam merias teratak privasi mesti memiliki keunikan yang dapat menyerlahkan identiti si pemilik.

Sofa adalah elemen terpenting yang perlu ada dalam setiap rumah. Sebelum memilih atau membeli sofa, perlu diambil kira ciri dan kegunaan sofa terlebih dahulu. Mari kenali jenis sofa yang ada di pasaran seperti berikut:

  • 3 seater sofa: kebiasaannya berukuran di antara enam ke lapan kaki panjang. Sofa jenis ini sesuai diletakkan di ruang tamu.
  • Sectional sofa: berangkai beberapa kedudukan. Biasanya hingga membentuk sudut menyiku seperti L-shape atau U-shape.
  • Bench: tempat duduk memanjang tanpa tempat menyandar.
  • Recliner: ketinggiannya dapat diubah suai seperti kerusi kereta.
  • Armchair: mempunyai penyandar tangan di kiri dan kanan.

Kegunaan
Sebelum membeli, anda perlu tahu di mana sofa itu akan ditempatkan. Bagi sofa ruang keluarga yang biasanya menjadi lokasi aktiviti keluarga sambil menonton, maka sofa yang berbingkai kuat dan selesa perlu diambil kira. Lengkapkan juga dengan kusyen lembut. Sofa berbentuk U atau L juga sering digunakan untuk ruang keluarga.

Sofa untuk ruang tamu pula adalah sedikit berbeza berbanding ruang keluarga. Untuk ruang ini, sofa yang tampak formal dan mewah lebih sesuai digunakan. Ini sebagai pemberi imej yang baik untuk tuan rumah di mata tetamu.

Saiz dan Ukuran
Anda perlu bijak dalam mengukur kawasan yang akan menempatkan sofa. Sofa mungkin terlihat lebih kecil ketika berada di kedai perabot yang mana kawasannya lebih besar dengan paras siling yang lebih tinggi. Tetapi apabila diletakkan di rumah, sofa tersebut menjadi terlalu besar dan membataskan ruang pergerakan. Jadi, sebelum membeli, ukur berdasarkan luas ruang dan ukuran perabot lain yang berada di sekitarnya. Kemudian, pilih jenis sofa yang diinginkan.

Upholstery
Untuk mendapat sofa terbaik, anda harus mempertimbangkan jenis fabrik yang digunakan. Kain pelapis (upholstery) juga penentu harga sesebuah sofa. Penggunaan fabrik tebal atau kulit lebih sesuai untuk sofa supaya tahan lebih lama. Sofa yang dilapisi dengan kain, akan nampak lebih kasual dan ceria. Sementara pelapis kulit memberi kesan gaya yang lebih klasik dan mewah. Selain itu, pilih corak dan warna sofa yang polos dan tidak lapuk dek zaman.