Hampir Jadi Mangsa HIV Positif

Impian untuk memiliki keluarga sendiri dan melayari bahtera perkahwinan bersama orang tercinta musnah kerana pasangannya positif HIV

Perkahwinan adalah antara keinginan setiap wanita yang lahir di muka bumi ini. Mendapat jodoh yang baik dan bertanggungjawab serta mampu untuk menjaga diri sehingga ke hujung nyawa adalah satu kelebihan. Namun, bukan semua wanita bernasib baik untuk sampai ke tahap itu. Aina Azmi*, 29, berkongsi pengalaman perit dialaminya bila impian tersebut lebur di tengah perjalanan apabila lelaki yang sudah bergelar bakal suami disahkan menghidap HIV positif.

Gambar : Ingimage

Seperti gadis lain, Aina tidak dapat lari daripada soalan bila mahu berkahwin. Soalan itu sering menjadi soalan utama apabila dia pulang ke kampung atau berjumpa dengan rakan. Biarpun ia dating bab peluru bertalu, dia cuba untuk tidak rasa tertekan kerana Aina tahu, masanya belum tiba untuk dia melalui fasa itu. Dia hanya berfikiran positif dengan nasihat yang diberi.

“Saya bukanlah gadis yang gemar keluar dengan lelaki dan sejujurnya saya sukar membuka hati untuk menerima lelaki dalam hidup. Saya mempunyai kawan lelaki tetapi hanyalah sekadar berkawan biasa. Segalanya bermula apabila saya berjumpa dengan seorang lelaki yang berjaya memikat hati saya,” kata Aina.

Aina diperkenalkan kepada Haziq Adnan* melalui rakannya. Kali pertama mereka berjumpa pada awal 2010. Ketika itu, mereka hanya berkawan dan masing-masing tidak terjebak dalam perasaan cinta. Beberapa bulan perkenalan dan oleh kerana selalu keluar bersama, Haziq akhirnya meluahkan perasaan dan ingin membawanya berjumpa dengan keluarga.

“Saya menerima pelawaan untuk berjumpa dengan keluarganya kerana menghormati dia. Sejujurnya saya memberitahu Haziq bahawa saya langsung tidak mempunyai perasaan padanya. Dia seperti kecewa apabila mendengar luahan saya. Namun, saya tetap pergi berjumpa dengan keluarganya kerana tidak mahu menghampakan hati orang tua Haziq.

“Walaupun pada mulanya saya menolak, Haziq masih dengan pendirian ingin melamar saya dan mahu menjadikan saya isterinya yang sah. Hati saya terusik dengan kesungguhannya untuk memperisterikan saya. Jadi saya beritahu akan belajar menerima dan menyayangi dia sebagai seorang suami,” tambah Aina.

DETIK PENUH DEBARAN

Sebulan kemudian, Haziq menghantar rombongan merisik dan keluarga Aina menerima pinangan mereka untuknya. Segalanya berjalan dengan lancar dan mereka bertunang sebulan selepas Haziq datang merisik. Ibu Aina tidak mahu mereka bertunang terlalu lama Jadi pada hujung 2011 mereka ditetapkan bakal melangsungkan perkahwinan.

“Persiapan yang kami lakukan untuk bertunang cukup mudah dan bersahaja. Hanya ahli keluarga terdekat sahaja dijemput. Haziq juga bersetuju untuk memberikan wang hantaran sebanyak RM10,000 untuk saya walaupun saya tidak menetapkan jumlah hantaran dan kami menerimanya untuk kegunaaan persiapan perkahwinan,” katanya lagi.

Dalam tempoh beberapa bulan sebelum perkahwinan Aina belajar mengenali hati budi dan peribadi masing-masing dan akhirnya perasaan sayang mula berputik. Semakin dekat dengan tarikh nikah, makin menebal kasihnya buat jejaka itu.

“Selepas bertunang, kami mula melakukan persiapan perkahwinan memandangkan hanya ada beberapa bulan sahaja lagi sebelum tiba tarikh perkahwinan. Kami menghadiri kursus perkahwinan, melakukan proses dokumentasi dan menjalani ujian saringan HIV. Segalanya telah dilakukan termasuk membeli barang untuk majlis dan menempah semua keperluan majlis. Saya juga ada menambah duit sendiri untuk menampung keperluan kos majlis tidak hanya berharap pada duit hantaran yang diberikan,” tambah Aina.

HADIR DUKA DALAM SUKA

Dugaan pertunangan bermula apabila syarat utama perkahwinan tidak dapat dipenuhi iaitu Ujian Saringan HIV menunjukkan tunangnya itu berkeputusan positif HIV. “Saya kecewa selepas mendapat tahu bahawa HIV positif dikesan pada Haziq. Segalanya punah dalam sekelip mata dan ketakuan mula menghantui Aina yang terbayangkan majlis sudah semakin dekat dan semua persiapan sudah dilakukan,” luahnya.

Sejurus dimaklumkan mengenai keputusan saringan ini, mengikut prosedur jika keputusan HIV menunjukkan reaksi positif, doktor akan melakukan sesi kaunseling kepada pasangan untuk menerangkan secara lebih jelas mengenai HIV.

“Kecewa dan sedihnya saya pada ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya dipanggil berasingan untuk sesi pertama tanpa Haziq. Doktor maklumkan kepada saya yang pasangan saya mempunyai HIV dan kemudian menerangkan mengenai teknologi yang semakin canggih dalam mencegah jangkitan dan sebagainya.

“Nasihat yang positif saya terima daripada doktor semasa sesi kaunseling dan doktor juga memberi saya tempoh masa dua minggu untuk memutuskan sama ada ingin meneruskan perkahwinan dengan Haziq ataupun tidak sebelum dia mengeluarkan surat hitam putih bagi tujuan pengesahan,” katanya.

Ahli keluarga Haziq turut dipanggil namun ibunya mahu Aina merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan orang termasuk ibu bapa Aina. Mereka mahu meneruskan perkahwinan dan mengharapkan bahawa Haziq akan sembuh.

Selepas dua minggu, Aina dan Haziq berjumpa semula dengan doktor namun hanya berita buruk yang diterima. Menurut doktor Haziq sudah tidak mempunyai harapan untuk sembuh dan berkahwin hanya akan memburukkan keadaan.

“Saya sudah putus harapan dengan Haziq pada ketika itu. Saya bertanya kepadanya bagaimana dia boleh mendapat HIV tetapi dia hanya mendiamkan diri. Saya menangis sepanjang perjalanan dan membuat keputusan ingin pulang ke kampung memaklumkan kepada ibu bapa saya perkara yang sebenar. Saya merasakan seperti ditipu,” katanya lagi.

Aina kemudian mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan. Walaupun Aina sayangkan Haziq tetapi dia masih rasional untuk memikirkan masa hadapan dia dan bakal anaknya. Dia tidak sanggup mempertaruhkan nyawa dan menghancurkan dirinya.

“Haziq bersetuju untuk berpisah secara baik. Saya juga perlu teruskan kehidupan walaupun masih kecewa dengan Haziq. Bayangkan impian untuk berkahwin dan memiliki keluarga hancur begitu sahaja. Kerugian juga terpaksa ditanggung oleh keluarga saya. Namun, saya redha dengan ujian yang diberi Tuhan,” kata Aina.

Walaupun sedih, namun Aina bersyukur tentang ujian saringan HIV berkenaan. Jika tidak sudah pasti dirinya sudah terjebak dan dijangkiti. Selepas itu, dia tidak lagi berjumpa dengan Haziq dan tidak tahu akan perkhabarannya. Aina turut memberi nasihat kepada anak muda di luar supaya tidak terjebak dengan pergaulan bebas kerana kelak diri sendiri yang akan merana.