Elak “Microsleep” Berlaku Semasa Pulang Menyambut Aidilfitri

Pernahkah anda mengalami situasi di mana anda sedang memandu kenderaan dan kemudian terlelap hanya seketika iaitu beberapa saat?

“Microsleep” adalah keadaan dimana badan manusia ‘tidur’ buat seketika. Segala input daripada deria penglihatan dan pendengaran tidak dapat diproses otak. Ia berlaku dalam tempoh antara satu hingga 30 saat. Microsleep juga boleh terjadi walaupun mata anda masih terbuka. Keadaan ini boleh dibandingkan dengan sebuah komputer, iaitu otak seseorang telah “shut down”.

Gambar : INGimage

Pada kelajuan 70km/h, microsleep yang terjadi  selama tiga saat boleh menyebabkan kenderaan menyusur tanpa kawalan sejauh 200 meter. Dalam jarak berkenaan, nyawa manusia boleh melayang dalam sekelip mata sahaja. Bayangkan apa yang boleh berlaku apabila kenderaan dipandu pada kelajuan 100 km/h.

Namun, seringkali pemandu memikirkan dirinya kebal dan menganggap kemalangan hanya berlaku pada orang lain hanya kerana kereta sudah diperiksa dan mempunyail skil memandu yang baik. Keinginan untuk bersama keluarga tersayang yang terpisah buat sekian lama dijadikan motivasi untuk gagah memandu walaupun sudah terlalu mengantuk.

Ada yang berpendapat jika kenderaan dipandu dengan laju, akan menyebabkan kurang mengantuk kerana kesan adrenalin yang meningkatkan upaya dimana badan bersedia untuk menghadapi keadaan yang membahayakan diri. Manakala jalan yang berbengkang – bengkok seperti di Lebuhraya Karak akan menghilangkan rasa mengantuk kerana pemandu lebih fokus dengan kerana keadaan jalan.

Dua fakta di atas hanya mengundang bahaya. Sistem badan akan leih penat dan akhirnya boleh menyebabkan microsleep yang lebih lama.

Cara Elak Microsleep

🔺 Berhenti
🔺 Letak kereta di tempat yang selamat.
🔺 Kemudian tidur.

Tak perlu untuk tidur terlalu lama. Lima minit juga sudah mencukupi. Ulang setiap kali anda mula berasa mengantuk. Berhenti berehat setiap dua jam  bagi mereka yang memandu untuk pemanduan jarak jauh. Untuk penumpang hadapan pula, jadilah penumpang yang baik.  Apabila perjalanan bermula janganlah hanya tidur sahaja atau mendengar lagu.

Cuba lakukan beberapa perkara ini:

1. Sentiasa berbual dengan pemandu untuk mengelak mereka berasa mengantuk.
2. Perhatikan cara pemanduan pemandu. Jika sudah mula membawa tidak mengikut lorong, tegur mereka. Cadangkan untuk berehat seketika di stesen minyak atau menukar pemandu. Jika tiada yang boleh memandu sebaiknya berhenti berehat.
3. Sekali sekala lihat paparan pemuka pemandu. Adakah pemanduan mereka terlalu laju atau amaran lampu – lampu yang menyala?  Jika ada, tegur pemandu supaya mereka berwaspada.

Akhir sekali berhati – hati di jalan raya. Musim perayaan telah bermula. Jangan jadikan diri dan keluarga anda sebahagian daripada statistik OPS SIKAP. Pulang menyambut Aidilfitri dengan selamat.

 

Dipetik daripada FB Medical Mythbusters Malaysia

Artikel oleh Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris
Presiden & pengasas
Medical Mythbusters Malaysia