Kenali Nor “Phoenix” Diana – Ratu Gusti Berhijab Kelahiran Malaysia!

Jangan Cari Pasal Dengannya!

Ia seperti satu kepuasan apabila ada wanita yang berjaya dalam profesion yang didominasi oleh lelaki! Nor Diana atau nama penuhnya Syaradeeba Khamarulzaman, 19, adalah antara wanita yang dimaksudkan.

Diana menjadi wanita berhijab pertama dari Malaysia yang menyertai sukan gusti profesional. Tolak ke tepi tentang persepsi masyarakat terhadap kerjaya yang dipilihnya, Diana membuktikan tiada halangan untuk anda mengejar cita-cita dan impian.

Mula berminat dengan sukan gusti, Diana berkata dia mula menonton rancangan gusti WWE bersama adik-beradiknya pada usia 14 tahun. Dia yang begitu meminati sukan itu kemudian mencuba nasib menghadiri uji bakat pencarian atlet gusti pada usia 16 tahun. Minat yang mendalam serta kesungguhan yang tinggi membuatkan jurulatihnya memberi peluang untuk menyertai pertarungan gusti pada Februari 2017.

Pertarungan pertama itu menjadi satu kenangan indah buat Diana walaupun tewas kepada ahli gusti tempatan, Scarlett Lee. Diana kembali bangkit dan berjaya memenangi tali pinggang Pro Wrestling – The Wrestleconi awal Julai lalu selepas menewaskan empat ahli gusti lelaki negara.

Kejayaan Diana membuka mata ramai pihak yang selama ini mempertikaikan pilihannya menyertai sukan gusti yang disifatkan terlalu ganas untuk wanita. Sehingga kini Diana telah menyertai 15 perlawanan di dalam dan luar negara. Selepas kemenangan baru-baru ini, dia mendedahkan menerima tawaran bertanding sehingga di Eropah tetapi masih belum membuat keputusan berikutan masih muda untuk terbang jauh seorang diri.

Foto: AFP

Diana yang bekerja sepenuh masa sebagai pembantu klinik di sebuah hospital di Lembah Klang itu turut berharap kejayaannya boleh membuka mata ramai pihak. Dia berharap sukan gusti ini mendapat sambutan dengan lebih ramai penyertaan daripada kaum wanita dan juga yang berhijab.

Sumber: astroawani.com
Foto Hadapan: Mukhriz Hazim