Atasi Masalah Sukar Mendapat Pekerjaan Untuk Graduan Baru

Graduan baru perlu praktikkan ini

Isu pengangguran di kalangan graduan yang baru menamatkan pelajaran sudah kerap berlaku. Hal ini bukan sahaja disebabkan oleh keadaan ekonomi tetapi juga oleh sikap sesetengah graduan yang suka memilih kerja dan inginkan gaji yang tinggi. Oleh itu, Jelita kongsikan tip yang mudah untuk graduan baru atasi masalah ini.

Gambar: Depositphotos

1. Bersikap realistik

Menurut data yang pernah dikeluarkan oleh Jobstreet, kebanyakan majikan mengatakan bahawa antara sebab utama graduan sukar mendapat pekerjaan adalah kerana permintaan gaji yang terlalu tinggi dan tidak realistik; sehinggakan seramai 30 peratus daripada mereka meminta gaji permulaan setinggi RM 6,500 sebulan.

2. Nilai tambah pada diri

Jobstreet melaporkan, berdasarkan maklum balas dari majikan, selain daripada permintaan gaji yang terlalu tinggi, faktor berikut turut menyumbang kepada kegagalan graduan mendapat pekerjaan:

  • Kurang penguasaan dalam bahasa Inggeris
  • Tidak dapat berkomunikasi dengan lancar dan baik
  • Tidak berkebolehan dalam penyelesaian masalah
  • Tidak berupaya membuat keputusan dengan baik

3. Ubah minda & sikap

Secara logiknya apabila seseorang itu membuat pemohonan kerja dan dipanggil untuk hadir temuduga, pastinya calon itu akan hadir bukan? Tidak semestinya!

Didapati satu pertiga graduan yang dipanggil untuk hadir temuduga akhirnya langsung tidak hadir tanpa sebarang pemberitahuan. Ada pula yang hadir tetapi lambat dan hadir dalam keadaan tidak kemas dan langsung tidak bersedia. Secara logiknya, majikan tidak mahu calon sebegitu dalam organisasi mereka kerana dilihat sebagai tidak memiliki sikap bertanggungjawab.

4. Timba pengalaman bekerja

Ini berkait rapat dengan masalah yang dinyatakan dengan tip pertama yang mana ramai graduan meminta gaji yang terlalu tinggi walaupun tiada sebarang pengalaman bekerja untuk membantunya. Secara logik dan realistiknya, sesebuah syarikat hanya akan menawarkan gaji yang tinggi untuk jawatan yang memerlukan pengalaman. Ini kerana jawatan itu pastinya memerlukan seseorang yang berpengetahuan luas dalam tugas yang dilakukannya.

5. Jangan berputus asa

Sekiranya semua langkah betul telah diambil namun tetap tiada pekerjaan; janganlah putus asa. Teruskan menghantar resume dan hadiri temuduga.