4 Kekurangan Jika Anda Bekerja Dari Rumah

Jelita senaraikan empat kekurangan jika anda bekerja dari rumah.

Bekerja dari rumah adalah impian setiap wanita yang sudah berkeluarga. Bayangkan sahaja anda dapat menjaga anak dan dalam masa yang sama meneruskan kerjaya yang anda impikan selama ini. Walaupun bekerja dari rumah mempunyai banyak kelebihannya namun ia juga ada kekurangannya. Jelita senaraikan empat kekurangan jika anda bekerja dari rumah.

bekerja dari rumah

Gambar: Shutterstock

Waktu Kerja Tidak Dihormati

Secara idealnya memang seronok jika anda dapat bekerja dari rumah dan mendapat kebebasan melakukan apa sahaja kerja mengikut kehendak sendiri. Tetapi berdasarkan pengalaman beberapa ibu yagn bekerja dari rumah, mereka menghadapi masalah besar apabila ahli keluarga tidak menghormati waktu kerjamereka. Hanya kerana mereka dilihat berada di rumah; suami, anak dan ada juga rakan yang menganggap mereka tidak bekerja, malah tidak perlu bekerja. Dengan adanya pemikiran seperti ini, orang di sekeliling mula menyuruh mereka untuk membuat pelbagai kerja rumah pada waktu kerja sehingga tugasan pejabat tidak dapat diselesaikan.

Cara Atasi: Berbincang dan sedarkan ahli keluarga seperti seuami dan anak bahawa anda tetap mempunyai tanggungjawab kerja pejabat yang perlu diselesaikan  walaupun berada di rumah. Tetapkan beberapa peraturan sebagai garis panduan mereka contohnya, waktu yang anda tidak mahu diganggu supaya dapat fokus pada tugasan pejabat.

Kurang Disiplin

Selain itu, ada juga yang mengaku bahawa bekerja dari rumah menyukarkan mereka menyiapkan kerja pejabat kerana faktor kurangnya disiplin dalam diri sendiri. Mana tidaknya, banyak gangguan ada di rumah yang boleh mencuri tumpuan contohnya, katil empuk yang seakan memanggil.

Cara Atasi: Perlu tegaskan pada diri sendiri supaya jelas objektif sebenar anda memilih untuk bekerja dari rumah. Paling penting, wujudkan peraturan sebagai pegangan agar anda jelas mengenai tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan setiap hari. Sekiranya rasa diri terpesong daripada tujuan asal, inilah yang akan menjadi peringatan buat anda.

Keletihan

Tidak dapat dinafikan golongan isteri atau ibu bekerja boleh dianggap sebagai superwoman kerana semua kerja harus dilakukan dalam masa yang sama. Malah, mereka juga bijak menyusun jadual  dan cukup berkebolehan sehingga mereka sanggup dan dapat menyelesaikan  pelbagai tugasan pejabat serta tanggungjawab di rumah; semuanya dalam waktu yang sama. Namun, masalah akan timbul pada penghujung  hari kerana mereka akan menjadi terlalu letih. Sekiranya perkara ini diteruskan, ia akan mengundang masalah lain seperti tekanan.

Cara Atasi: Anda perlu realistik dalam perancangan. Sungguhpun anda seorang yang serba boleh dan bijak mengurus waktu, tidak semestinya anda perlu membuat semua perkara dalam waktu yang sama. Sekiranya sudah siap tugasan pejabat dan ada kerja rumah yang perlu dilakukan tetapi kurang penting, jangan rasa bersalah untuk meluangkan sedikit masa untuk diri sendiri.

Kesunyian

Bagu mereka yang pernah bekerja dalam sebuah organisasi dan sudah biasa dikelilingi orang ramai, anda pasti akan berasa sunyi apabila bekerja dari rumah. Mungkin pada permulaannya, ini adalah sesuatu yang anda suka kerana tiada lagi pengacau yang menggangu. Tetapu dalam jangka masa yang panjang anda akan mula merindui rasa mempunyai rakan sekerja untuk berbual.

Cara Atasi: Anda perlu membuat persiapan mental dan fizikal kerana anda akan banyak bekerja sendirian di rumah. Apabila selesai sesuatu kerja, pastikan ambil sedikit masa untuk keluar dari ‘tempat kerja’ anda di rumah. Contohnya, berjalan di taman rumah anda untuk menghirup udara segar. Jika sudah bosan bekerja di rumah, sekali sekala anda boleh memilih untuk bekerja di luar seperti kedai kopi bagi menyiapkan kerja pejabat anda.