Dua Jenis K Yang Perlu Sentiasa Seimbang

Kerjaya dan kehidupan, bukan mudah untuk diseimbangkan tetapi itulah sebaiknya.

Kejayaan dalam kerjaya ialah antara perkara terpenting bagi kehidupan masyarakat masa kini yang menjadi rebutan ramai individu. Ini membuatkan kehidupan yang seimbang dengan kerjaya tidak dapat ditakluk.

“Dalam keghairahan bekerja, jangan lupa untuk memberi tumpuan dalam kehidupan yang seimbang agar dapat memiliki kehidupan yang lebih berkualiti. Lebih seimbang kehidupan maka lebih besar kejayaan yang boleh diperolehi kerana apa yang dicapai adalah untuk kesenangan ahli keluarga,” kata Mohd Rudyhizat, konsultan di RH Consulting.

Gambar : Ingimage

Kajian daripada Harvard Business School menunjukkan hampir 95 peratus daripada pekerja profesional bekerja selama lebih 50 jam setiap minggu. Ini akan menyebabkan individu berkenaan mengalami tekanan yang teruk dan boleh memberi kesan permasalahan dalam hubungan dengan keluarga dan kegembiraan dalam hidup akan hilang.

Panduan mengimbangkan kerjaya dan kehidupan

  1. Buat jadual tetap

Disiplinkan diri kita untuk membuat jadual masa untuk bersama ahli keluarga. Melalui itu, anda dapat mempertuntukkan masa untuk keluarga dan juga diri sendiri. Paling tidak anda boleh  mencuba pulang untuk makan malam bersama mereka.

  1. Kurangkan peranti elektronik

Gajet adalah objek yang paling popular digunakan untuk membuang masa. Cuba untuk tidak menyentuh gajet anda dengan tujuan menghabiskan masa dengan facebook atau membuka email. Sebaliknya anda digalakkan untuk keluar beriadah atau menghabiskan masa dengan membantu anak menghabiskan kerja sekolah mereka.

  1. ‘Tutup’ tugasan

Sesampai sahaja di rumah anda perlu berhenti berfikir mengenai kerja yang bertimbun di pejabat. Sibukkan diri anda bersama keluarga supaya masa terluang berkenaan boleh diisi dengan penuh bermanfaat dan mengeratkan lagi hubungan antara keluarga. Suami boleh membantu isteri memasak atau membantu membuat kerja rumah.

  1. Luangkan masa untuk diri sendiri

Tidak salah untuk sesekali keluar membeli-belah bersama rakan atau menghabiskan masa ke spa bagi memanjakan diri. Ambil sedikit sahaja masa daripada rutin harian untuk merehatkan minda  kembali bersemangat untuk memulakan tugas semula.

  1. Jaga kesihatan

Sentiasa pastikan tahap kesihatan anda berada dalam keadaan baik. Jika tidak anda akan kerap mengambil cuti sakit dan kerja di pejabat akan bertambah serta tertangguh. Akhirnya kerja tidak dapat diselesaikan dalam masa yang ditetapkan dan masa untuk keluarga juga terpaksa diabaikan.

  1. Libatkan diri dalam urusan anak

Pastikan juga anda menetapkan waktu untuk anda membantu anak membuat kerja sekolah supaya anda boleh mebantu mereka dalam menyelesaikannya. Selain itu, anda boleh mengambil cuti dan menghadiri hari penting atau aktiviti di sekolah anak.

  1. Rancang masakan

Anda boleh merancang menu masakan di rumah untuk ahli keluarga anda. Masakan rumah adalah terbaik dan juga lebih berkhasiat. Rancang menu untuk seminggu. Ia akan memudahkan anda untuk terus memasak daripada terus menghabiskan masa berfikir menu yang patut di masak. Ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan dengan makan malam bersama ahli keluarga.

  1. Keluar bersama pasangan tanpa anak

Tidak salah jika anda menghabiskan masa bersama pasangan dengan menonton wayang atau keluar makan bersama untuk mengekalkan hubungan romantik anda. Jadikan ia sebagai satu kepentingan untuk mengekalkan keharmonian dalam rumah tangga dan keluarga.

  1. Solat Berjemaah

Melakukan solat berjemaah bersama ahli keluarga antara kaedah terbaik untuk menjalinkan hubungan kualiti dengan keluarga. Sentiasa berdoa agar diberikan kebahagian bersama keluarga dapat dikekalkan.

Walaupun menjadi pekerja yang cekap dan boleh melakukan banyak perkara dalam satu masa antara ciri yang dicari majikan namun tidak bermakna anda perlu dedikasikan keseluruhan hidup untuk bekerja sahaja. Hidup anda akan menjadi tidak berkualiti kerana terlalu stres dan keletihan akibat terlalu banyak bekerja.