Dating Dalam Talian – Medan Budaya Hook-Up

Wanita negara mana paling berani hantar teks pertama kepada jejaka berpotensi?

Bukannya tidak mencari, tetapi jika usaha untuk mencari teman hidup dalam talian dikotori segelintir yang tidak serius dan tidak mahu komited, ramai yang membujang berasa janji temu dalam talian sebagai lokasi budaya hook-up.

Foto ING Image

Hook-up, mengikut kamus urban bermaksud mengadakan hubungan intimasi dengan seseorang tanpa merasakan perlu ada ikatan. Pendek kata, seks tanpa ikatan (walaupun orang dulu-dulu berkata, merapati seseorang tanpa mahukan komitmen).

Satu tinjauan pendapat terhadap lelaki dan wanita bujan 2018 dilakukan Lunch Actually, syarikat janji-temu makan tengahari Asia, menunjukkan yang orang bujang pada masa ini sudah boleh menerima cara mencari teman hidup bersesuaian menerusi platform janji-temu dalam talian. “Oleh kerana makin banyak perkhidmatan seperti ini disediakan, kami mahu tahu pandangan orang bujang terhadapnya,” kata Violet Lim, ketua eksekutif dan pengasas bersama Lunch Actually dalam pertemuan dengan Jelita, baru-baru ini.

Ini antara hasil tinjauan terhadap 1,300 orang bujang berusia antara 26 ke 45 tahun dengan 45 peratus daripada lelaki dan 55 peratus adalah wanita di Malaysia, Singapura, Hong Kong, Indonesia dan Thailand yang menarik:

Sebanyak 74 peratus responden percaya, janji-temu dalam talian adalah pencetus budaya hook-up dan 46 peratus percaya, cara ini ‘membunuh’ hubungan komited.

Namun, 95 peratus daripadanya masih mahukan perhubungan yang komited dan 92 peratus tidak sabar untuk berkahwin.

Sementara itu, 75 peratus pengguna janji-temu dalam talian benar-benar mencari perhubungan yang sejati walaupun separuh daripadanya mengaku pengalaman janji-temu dalam talian adalah negatif, terutama di Singapura dengan 69 peratus buat wanita dan 61 peratus buat lelaki.

Paling menarik! Lelaki yang berdepan pengalaman negatif ini memberitahu, mereka banyak bertemu individu yang bukan orang sebenar! (33%), manakala buat wanita, sebab utama pengalaman negatif disebabkan “banyak berbual dengan yang sepadan tetapi tiada hasil diingini.”

Bagi yang tidak pernah menggunakan perkhidmatan seperti ini, sebab utama kerana mereka risau bertemu individu yang menipu atau scammer (61%)  dan 37 peratus berkata, pernah ada pengalaman buruk.

TABIAT JANJI TEMU DALAM TALIAN

Menurut tinjauan itu juga, tabiat paling tidak sepadan bagi pengguna khidmat janji-temu dalam talian adalah wanita kerana mereka gemar membaca profil lelaki secara terperinci, TETAPI hanya enam peratus yang benar-benar rajin memenuhkan profil mereka, manakala yang lain… #SEPI.

Masih juga ada yang memegang konsep, lelaki perlu memulakan langkah terlebih dulu dan ini benar buat wanita di Singapura – 40 peratus daripadanya tidak akan memulakan perbualan teks. Tetapi wanita Malaysia pula hanya 34 peratus takkan berbuat yang demikian. Wanita di Hong Kong paling berani! 64% daripadanya tidak kisah mengambil inisiatif menghantar teks pertama kepada jejaka yang dirasakan berpotensi.

APA YANG DICARI?

Jangan ingat orang lelaki saja kuat memerhati fizikal wanita bila mencari pasangan, menurut tinjauan berkenaan, wanita pun sama saja. Katanya, wanita melihat pada ketinggian, bentuk tubuh, gigi, warna kulit atau penampilan sebagai kriteria amat penting bila memilih jika anda sepadan dengannya bila bertemu. Malah, etika menghantar teks juga penting buat wanita, bagi lelaki pula lebih fokus pada profil wanita berkenaan.

“Namun, bila sudah bertentang mata buat pertama kali, tiga perkara yang buat lelaki dan wanita ditinjau rasa tawar hati bukanlah penampilan. Ia adalah: perangai anda (cara melayan anda dan pelayan restoran – 67%), bersikap negatif (50%), dan kurang minat (48%). Ianya sama buat wanita dan lelaki daripada negara yang terbabit,” kata Lim.

Selain itu, makin ramai wanita (34%) bersedia untuk berkongsi kos makan pada janji temu pertama berbanding lelaki (25%). Paling tinggi adalah wanita Hong Kong yang tak berkira keluar duit iaitu 45 peratus wanita dan 41 peratus lelaki. Tetapi lelaki Thailand boleh dianggap lebih gentleman kerana lebih suka membayar kos makan pada janji temu pertama (61%).