Da Bomb! Ruffedge Gegarkan Kota Singa

Letusan fenomena luar biasa yang berjaya memukau peminat.

Setelah berjaya dengan konsert sulung mereka di Kuala Lumpur pada Ogos yang lalu, kumpulan Ruffedge terus menyebarkan aura di bumi Singapura pada 6 Oktober lepas. Konsert sempena ulang tahun ke-20 mereka yang berlokasi di [email protected] ini menyaksikan kesetiaan begitu ramai peminat dari Singapura sendiri, malah ada yang sanggup turun dari Malaysia agar tidak terlepas peluang menyaksikan persembahan hebat Ruffedge.

Persembahan Mengagumkan

Antara lagu yang didendangkan pada konsert kali ini adalah Tipah Tertipu, Lemas, Bila Rindu, Lelaki, Khayalan dan banyak lagi. Rata-rata penonton tidak dapat duduk diam dan mahu saja bernyanyi bersama. Ternyata setiap bait lirik yang disampaikan mampu menusuk hati, apatah lagi Ruffedge tampak bertenaga serta memiliki chemistry kuat sesama mereka yang menjadikan konsert ini akan sentiasa diingati. Cat, Sein, Azan, Mode, Amer dan Zain berjaya membuktikan mereka masih digilai ramai dan tidak pernah pudar auranya!

Tampil dengan buah tangan baru, Seperti Mereka, konsert kali ini menjadi saksi tayangan video muzik lagu berkenaan buat pertama kalinya kepada umum. Menerima idea dan konsep daripada ahli kumpulan Ruffedge sendiri iaitu Sein, video muzik Seperti Mereka terzahir ringkas, namun memiliki makna tersirat yang cukup dekat dengan hati ramai.

Apa yang menarik lagi adalah, konsert ini menerima artis jemputan Pot Amir yang mendendangkan lagu Belaian Jiwa bersama Ruffedge. Nyanyian merdu penuh harmoni ini sangat membuai perasaan. Tidak cukup dengan itu, Caprice turut muncul membuat persembahan istimewa yang telah menghangatkan lagi suasana.

Kolaborasi Istimewa

Persalinan segak bergaya ahli kumpulan ini adalah daripada jenama aere yang berkolaborasi bersama Ruffedge. Pakaian #aereMENxRUFFEDGE yang dikhususkan untuk kaum adam ini boleh anda dapatkan tidak lama saja lagi! Tunggu…………………….