CEGAH KEGAGALAN JANTUNG DARIPADA AWAL

Dianggarkan satu daripada lima orang yang berusia 40 tahun ke atas akan mengalami kegagalan jantung iaitu komplikasi yang boleh mengancam nyawa.

“Kali pertama didiagnosis sebagai pesakit lemah jantung, saya bergelut dengan setiap langkah yang diambil. Saya sering mengalami pening dan sesak nafas apabila memanjat tangga. Keadaan saya menjadi teruk sehingga terpaksa terlantar sakit di katil selama setahun,” kata Iryani Abd Jamil, 32, pesakit lemah jantung.

Gambar: Ingimage

Jantung akan gagal berfungsi dengan baik untuk mengepam darah ke seluruh bahagian tubuh kerana otot jantung yang lemah akibat faktor usia. Ini bermakna darah tidak dapat membekalkan oksigen serta zat ke seluruh badan dan menyebabkan seseorang berasa letih atau lesu.

Kegagalan jantung memberi kesan kepada lebih 60 juta orang di seluruh dunia dan rakyat Malaysia sendiri berisiko tinggi untuk mengalaminya. Apabila seseorang mengalami kegagalan jantung, keupayaan untuk melakukan aktiviti yang mudah, seperti menaiki tangga akan menjadi sukar dan seterusnya memberi kesan buruk kepada kualiti hidup.

Kajian telah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia lebih berisiko berbanding rakyat negara lain, memandangkan kadar kegagalan jantung di negara ini lebih tinggi berbanding dengan negara lain. Salah faham mengenai simptom kegagalan jantung menjadi punca ramai tidak mendapatkan rawatan awal.

PUNCA KEGAGALAN JANTUNG

Jantung adalah antara organ terpenting dalam badan manusia. Ia menghantar bekalan oksigen dan nutrien daripada darah yang dipam oleh jantung kepada organ lain. Jika ia gagal berfungsi maka organ lain juga akan menerima kesan yang sama.  Antara punca kegagalan jantung ialah:

  • Serangan Jantung
  • Tekanan Darah Tinggi
  • Injap Jantung Bocor
  • Penyakit Otot Jantung (Kardiomiopati)
  • Kecacatan jantung Semasa Kelahiran
  • Kencing Manis (Diabetes Mellitus)

Kegagalan jantung dalam kalangan pesakit di Asia Tenggara turut membabitkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang buruk dengan faktor risiko penyakit vaskular seperti hipertensi, obesiti dan diabetes. Tambahan pula, kebanyakan penghidap kegagalan jantung di Asia terdiri daripada mereka yang berusia 10 tahun lebih muda berbanding pesakit di Eropah, menjejaskan produktiviti ekonomi golongan berkenaan.

SIMPTOM KEGAGALAN JANTUNG

Pada mulanya, pesakit mungkin tidak akan mengalami sebarang tanda awal. Tubuh dan jantung hanya akan mengepam jantung dan darah lebih cepat. Namun apabila jantung mula bergelut untuk mengepam darah yang cukup ke seluruh tubuh, gejala menjadi lebih cenderung untuk muncul. Gejala-gejala ini boleh menjadi lebih buruk atau berubah jika kegagalan jantung asemakin teruk. Pada peringkat awal, pesakit mungkin mengalami:

  • Kepenatan akibat nafas yang kurang
  • Batuk Kronik dan Nafas yang berdehit
  • Kaki bengkak (edema)
  • Kadar Degupan Jantung Tinggi
  • Terasa Sedikit Pening
  • Kerap Membuang Air Kecil Pada Waktu Malam
  • Perut kembung

UBAH GAYA HIDUP

Pesakit perlu mengubah gaya hidup untuk mencegah kegagalan jantung daripada menjadi lebih teruk. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah:

  • Kurangkan pengambilan garam dalam makanan.
  • Kurangkan mengambil air putih untuk mengelak kaki menjadi bengkak (edema).
  • Kurangkan pengambilan alkohol.
  • Menjadi seorang yang aktif melakukan aktiviti fizikal.
  • Tidak merokok.
  • Elak daripada stres.
  • Makan makanan sihat dan seimbang.