Tiada Permit, Acara Bertemu Peminat Kim Jae Hwan Dibatalkan

Peminat pulang dengan perasaan kecewa

Acara bertemu peminat penyanyi Korea Selatan, Kim Jae Hwan yang sepatutnya berlangsung jam 6 petang hari ini telah dibatalkan pada saat- saat akhir.

Penganjur acara berkenaan, Macpiepro dalam kenyataan rasmi memberitahu pembatalan berkenaan berlaku kerana permit untuk mengadakan acara berkenaan tidak diluluskan.

“Dengan rasa kesal kami mengumumkan 2019 Kim Jae Hwan Fan Meeting [Min:D] Kuala Lumpur telah dibatalkan kerana permit untuk acara ini tidak diluluskan”

“Kami berasa kesal di atas pengumuman saat akhir ini dan telah sedaya upaya mendapatkan permit namun gagal. Bayaran penuh akan dipulangkan semula kepada semua peminat,” melalui pengumuman di laman rasmi instagram Macpiepro.

Salah seorang peminat Kim Jae Hwan, Amirul Aiman, 21, memberitahu dia amat terkejut dengan pengumuman berkenaan.

“Mereka hanya mengumumkan bahawa acara itu batal kepada kami selepas jam 6.30 petang. Ramai peminat yang setia menunggu daripada awal pagi dan datang dari setiap pelusuk Malaysia. Saya sangat kecewa dengan keadaan ini,” katanya.

Kelihatan juga beberapa peminat luar negara seperti Thailand, Filipina dan Korea Selatan yang berhabis wang dan tiket penerbangan untuk hadir bertemu dengan penyanyi kesayangan mereka itu namun terpaksa pulang dengan kecewa dan sedih.

Jelita yang turut dijemput menghadiri acara berkenaan melihat peminat bersorak nama penyanyi berkenaan mengharapkan ianya diteruskan seperti biasa. Kelihatan juga beberapa peminat menangis selepas ia diumumkan. Terdapat juga seorang peminat bertongkat pulang dengan kecewa setelah sekian lama menunggu.


Kim Jae Hwan kini bergerak solo setelah kumpulan Wanna One telah dibubarkan pada Januari lalu. Namanya semakin meningkat naik setelah memenangi tempat keempat dalam rancangan realiti survival Produce 101 Siri ke 2.