Tiada Lagi SongSong Couple, Song Joong Ki Failkan Perceraian Dari Song Hye Kyo

Berita sedih buat peminat SongSong Couple

Majlis perkahwinan mereka pernah digelar “Wedding of the Year” namun, pada hari ini, 27 Jun 2019, pasangan yang digelar sebagai SongSong couple oleh peminat, akhirnya telah membuat keputusan untuk bercerai.

Menurut peguam kepada Song Joong Ki, pada Rabu lalu, firma guamannya telah memfailkan perceraian bagi pihak aktor itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Song Joong Ki menerusi syarikat labelnya, pelakon itu meminta semua untuk memahami keputusan yang dibuatnya.

“Hello, Song Joong Ki di sini. Pertama sekali, saya ingin meminta maaf kerana menyampaikan berita sedih ini kepada ramai peminat yang menyayangi dan mengambil berat tentang saya.

Saya telah memulakan telah memulakan proses pemfailan perceraian dari Song Hye Kyo. Daripada mengecam satu sama lain dan bertengkar tentang siapa yang harus dipersalahkan, saya berharap proses perceraian ini dapat diselesaikan dengan baik.

Saya berharap anda dapat memahami mengenai hakikat bahawa ia agak sukar bagi saya untuk membincangkan tentang butir kehidupan peribadi saya, dan saya akan pulih dari kesedihan yang saya alami sekarang dan akan melakukan yang terbaik sebagai pelakon untuk membalas kesetiaan anda melalui lakonan yang hebat di masa hadapan. Terima kasih,” Song Joong Ki- Soompi

Syarikat label Song Hye Kyo, UAA Korea turut mengeluarkan kenyataan daripada Song Hye Kyo mengenai perceraiannya.

“Song Hye Kyo telah memutuskan untuk meneruskan proses perceraian selepas melalui perbincangan yang teliti. Sebab mereka berpisah adalah kerana perbezaan personaliti mereka, dan keduanya telah tekad dengan keputusan ini kerana malangnya, mereka tidak dapat mengatasi perbezaan tersebut. Lebih daripada ini, kami tidak boleh mendedahkan apa butiran lagi kerana ia adalah perihal peribadi pelakon, harap anda dapat memahaminya,” UAA Korea- Allkpop

Sebelum ini, terdapat banyak khabar angin yang menyelubungi perkahwinan pasangan tersebut namun ia dinafikan sekeras-kerasnya oleh pasangan itu.

Song Joong Ki dan Song Hye Kyo mula rapat selepas keduanya membintangi drama bersiri Descendant of the Sun, antara drama popular pada tahun 2016. Keserasian dua aktor dan aktres itu telah menarik peminat penonton sehingga lahirnya nama timangan untuk pasangan tersebut iaitu SongSong Couple.

Pada 31 Oktober 2017, pasangan itu telah disatukan sebagai suami isteri dalam satu upacara mewah yang turut dihadiri oleh beberapa teman rapat mereka seperti Lee Kwang Soo, Yoo Ah In, Yoo Jae Suk, Zhang Ziyi, Jo Insung, Park Bo Gum dan banyak lagi.