Mira Filzah Jadi Duta Salam Taiwan Tahun Kedua

Tarikan mesra Muslim jadi tunggak pelancongan.

Selepas memenangi trofi Bintang Paling Popular ABPBH baru-baru ini, nampak gaya rezeki Mira Filzah tidak putus-putus.

Terbaru, kontrak sebagai duta pelancongan Taiwan menerusi kempen Salam Taiwan diteruskan buat musim kedua. Ia menyaksikan Mira sebagai ‘suara’ kempen mempromosikan tarikan negara berkenaan di Malaysia.

Menurut Pengarah Pejabat Biro Pelancongan Taiwan Kuala Lumpur, Abe Chou dalam satu siaran media berkata, pihaknya gembira dapat meneruskan kerjasama dengan pelakon itu kerana personaliti ceria dan positif Mira Filzah menjadikan aktres cantik itu sebagai model contoh yang hebat. Tambahnya lagi, menerusi kempen pertama, Mira telah membawa pengaruh besar di dalam mengetengahkan Taiwan sebagai pulau mesra Muslim di Malaysia dan Brunei.

Mira Filzah telah dilantik sebagai wajah kempen Salam Taiwan pada 2018 dan sejak itu, aktres yang berusia 26 tahun itu telah mengadakan beberapa siri aktiviti dan acara yang memaparkan kemudahan dan tarikan yang ada bagi kemudahan pelancong Muslim. Antara kemudahan yang dipaparkan adalah makanan, minuman, hotel dan bilik solat yang selesa. Untuk musim kedua ini, Mira akan melawat Taiwan dan meneroka lokasi unik, mengunjungi lokasi tarikan dan aktiviti yang kurang dikenali dan juga permata rahsia pulau itu yang belum diketahui ramai.

Dilancarkan pada Ogos 2018, musim pertama Salam Taiwan memaparkan enam tonggak utama iaitu Gaya Hidup Sihat dan Mampan (Lohas), Pasar Malam, Taman Hiburan, Pemandangan Luar, Beli-belah dan Budaya Muslim. Untuk musim kedua ini, Biro Pelancongan Taiwan akan mengetengahkan lebih tentang makanan, ekologi unik, Lohas, gabungan kebudayaan tradisional dan moden dan beli-belah.

Selain itu, Biro Pelancongan Taiwan berharap dapat menyediakan panduan berguna kepada pelancong Muslim dan menjadikan Taiwan sebagai destinasi pelancongan seterusnya bagi menikmati pengalaman pulau itu secara peribadi.

Setakat September 2019, Taiwan berada di tangga ketiga kategori bukan anggota negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI). Pulau ini telah menerima lebih daripada 320,000 pelawat dari Malaysia dan Brunei bagi lapan bulan pertama tahun ini, di mana 15 peratus daripada adalah pelancong Muslim,. Ini adalah peningkatan 30 peratus pelancong Islam berbanding tempoh sama pada 2018.

Untuk maklumat lanjut tentang Salam Taiwan, sila layari laman web rasmi Biro Pelancongan Taiwan atau Facebook atau hubungi 03- 2070 6789 dari 9 pagi sehingga 5:30 petang.