Binaan atas Pusara, Boleh atau Tidak?

Membuat binaan kubur sering menjadi perdebatan. Namun, adakah ia dibenarkan atau di sebaliknya?

Binaan pusara atau nama lain yang biasa disebut sebagai kepok dapat dilihat dalam pelbagai bentuk, rupa dan warna di kawasan tanah perkuburan. Ianya berlaku bukan sahaja di sini malah di kebanyakan negara juga mempunyai seni bina yang tertentu di atas kubur.

Kredit : Wikimedia Commons

Jika ditinjau tanah perkuburan Islam di seluruh dunia, maka akan terlihat perbezaan dan persamaannya. Ada yang seragam dengan bentuk dan warna kepok yang sama, ada juga yang berlainan dalam setiap seni binanya sehingga kelihatan terlalu gah dan seolah berlawan dengan binaan kubur di sekitarnya.

Maka timbulkan pelbagai persoalan dan pandangan mengenainya dan akhirnya menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat. Jelita ajukan persoalan ini kepada Ustaz Mohd Al Amin Ab Aziz, Kauselor dan Penasihat Syariah, Familyfirst Consultancy.

Boleh Ustaz terangkan sedikit jenis tanah perkuburan yang wujud?

Terdapat tiga jenis tanah perkuburan iaitu tanah wakaf, tanah awam dan tanah persendirian yang menjadi tempat bersemadinya jasad orang Islam. Tanah perkuburan yang telah diwakafkan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain selain daripada mengebumikan mayat orang Islam, walaupun tulang dan anggota mayat telah hancur.

Begitu juga dengan tanah perkuburan awam yang biasa disediakan pihak tertentu namun ia boleh digunakan untuk tujuan lain jika semua tulang mayat yang dikebumikan telah hancur dan berazam tidak akan dijadikan kawasan perkuburan di tanah itu pada masa akan datang.

Namun jika jasad yang dikebumikan di tanah persendirian atau pemilikan orang lain, ianya adalah harus untuk menggalinya dan boleh digunakan untuk tujuan lain seperti bertani, dijadikan jalan atau tapak perumahan dalam perkataan lain tanah itu tidak lagi dinamakan sebagai tanah perkuburan.

Adakah dibenarkan dalam Islam untuk membina binaan atas kubur? Apakah hukumnya?

Dalam soal meletakkan hukum para ulama berbeza pendapat mengenainya. Antara dalilnya adalah:

“Sesungguhnya Nabi SAW menegah dari membuat binaan di atas kubur” [HR. Ibnu Majah]

“Rasulullah SAW melarang pembinaan kubur dengan batu kapur” [HR. Muslim]

“Aku menyampaikan pesanan Rasulullah SAW kepadaku bahawa jangan ditinggalkan patung-patung kecuali setelah engkau hancurkannya, begitu juga dengan kubur yang binaannya tinggi kecuali setelah engkau ratakannya” [HR. Muslim]

“Nabi SAW menegah dari membina tembok di atas kubur, tinggal di atasnya, membuat binaan dan menulis di atasnya” (HR. Tarmidzi)

Daripada dalil tersebut dan beberapa dalil yang lain, maka ulama membahagikan hukumnya kepada tiga iaitu:

  1. Haram jika kawasan perkuburan itu di atas tanah awam dan tanah wakaf kerana ia akan menyempitkan kawasan dan memberi kesulitan bagi urusan pengebumi jasad jenazah yang lain. Juga, haram jika binaan daripada batu marmar atau seumpamanya kerana ia sangat bertentangan dengan larangan Nabi SAW di samping terdapat unsur pembaziran, kebanggaan dan kemegahan yang dicela agama.
  2. Makruh jika kawasan perkuburan itu di atas tanah persendirian dan binaan yang dibuat hanya tujuan untuk kecantikan kubur semata. Hakikat kubur itu adalah ingatan kepada kematian bukan kemewahan yang dibanggakan. Apatahlagi tidak boleh menggunakan harta peninggalan si mati untuk tujuan binaan di atas kubur. Larangan makruh ini dikuatkan dengan firman Allah dalam Surah At-Takathur, ayat 1-2.
  3. Harus jika tujuan asasnya adalah untuk mengelak daripada tanah runtuh, bagi membezakan kubur dengan tanah biasa, agar tidak dipijak dan menjadi laluan, tiada berlakunya pembaziran serta tidak memakan ruang yang berlebihan daripada liang lahad kubur.

Kesan jika membina binaan atas kubur?

Binaan yang berlebihan atas kubur boleh menyempitkan tanah perkuburan dan mendatangkan kesulitan kepada orang Islam yang lain serta mengundang kemurkaan Allah SWT atas kesombongan tidak mengendahkan laranganNya dan Nabi SAW.

Selain itu, ia boleh membuka jalan syirik dengan berlakunya pemujaan ke atas kubur tertentu. Namun, jika binaan yang dibuat hanya sekadar untuk mematuhi batas yang disyariatkan, maka ia menampakkan pemahaman umat Islam akan hakikat kehidupan dan kematian.

Bagaimana pula dengan binaan yang didirikan di atas kubur para Anbiya’?

Makam Nabi SAW sendiri pun tiada binaan khusus pada asalnya sebagaimana yang diriwayatkan Sufyan at-Tammar:

“Aku melihat kubur Nabi SAW tingginya hanya sekadar bonggol unta sahaja” [HR. Bukhari]

Namun, ianya berubah pada hari ini kerana rancangan jahat musuh Islam yang cuba untuk menggali dan mencuri jasad baginda SAW. Oleh yang demikian, pemerintah Madinah pada ketika itu telah membuat pagar dari atas ke bawah demi menjaga kesucian jasad baginda SAW. Begitu juga dengan kubur para nabi yang lain selain untuk mengelakkan daripada berlakunya amalan pemujaan.