Bahaya Jerebu, Ini Langkah Yang Perlu Dilakukan Untuk Kekal Sihat

Kesihatan anda amat penting!

Cuaca jerebu boleh memudaratkan kesihatan anda. Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia menunjukkan bahawa sesetengah negari sudah menunjukkan penurunan namun begitu masih ada 14 negeri yang masih berada di dalam tahap tidak sihat.  Keadaan jerebu yang berterusan boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan anda. Untuk memastikan kesihatan anda sentiasa terjaga sewaktu jerebu, Jelita kongsikan beberapa tip ini untuk anda.

Gambar: Depositphotos

Minum Air Secukupnya

Ini sangat penting untuk mengelakkan tubuh anda dari kekurangan air. Bawa botol air yang berisi air suam ke mana sahaja anda pergi.

Kurangkan Aktiviti Fizikal Di Luar Rumah

Elakkan daripada melakukan aktiviti fizikal di luar rumah sewaktu jerebu. Sebaiknya anda duduk di dalam rumah dan tutup pintu dan tingkap agar udara kotor tidak masuk ke dalam rumah. Anda boleh bermain permainan papan dengan anak anda di dalam rumah.

>7 Permainan Papan Yang Menyeronokkan Untuk Anak Anda

Pakai Topeng Muka

Jika anda perlu keluar rumah, jangan lupa untuk memakai topeng muka yang sesuai. Topeng muka yang sesuai adalah jenis 3 ply. Ini untuk memastikan anda tidak menghirup udara yang tidak bersih itu.

Guna Penghawa Dingin

Elakkan daripada membuka tingkap ketika memandu. Gunakan penghawa dingin dan tetapkannya pada mod kitaran udara dalaman.

Elak Sidai Baju Di Luar

Bagi baju yang baru sahaja dibasuh, adalah sebaiknya jika anda tidak menyidainya di luar rumah. Sidai di dalam rumah atau untuk sementara ini, hantar baju ke cucian kering. Baju yang terdedah kepada jerebu juga perlu dicuci sebagai langkah berjaga-jaga.

Mandi Dengan Kerap

Pastikan anda mencuci muka serta kulit yang terdedah kepada jerebu. Langkah terbaik adalah anda mandi dengan kerap untuk mengelakkan dari kulit gatal.

Berhenti Merokok

Bagi anda yang kuat merokok, inilah masanya untuk anda mengurangkan atau berhenti merokok. Jangan tambahkan lagi masalah kepada udara yang sudah pun tercemar.

Berjumpa Doktor

Jangan melengah-lengah untuk berjumpa dengan doktor sekiranya anda berasa tidak sihat, sesak nafas, gatal kulit dan sebagainya. Berjumpa dengan doktor dapat membantu untuk mengelakkan keadaan yang lebih buruk.

Sumber: Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar dan EH!