Ayuh Tonton Drama Keluarga Baha Don

Ragam sebuah keluarga yang menarik untuk ditonton.

Keluarga Baha Don bakal menemui anda dengan pelbagai aksi menarik, selain unsur komedi yang mengangkat ragam sebuah keluarga yang mempunyai latar belakang dua dunia berbeza – kulinari dan jenayah terancang.

Drama ini akan ditayangkan bermula 11 Julai menerusi laman hiburan atas talian, Viu. Selain aktor ternama Remy Ishak, drama bergenre aksi komedi ini turut dibintangi nama-nama hebat yang lain seperti Khir Rahman, Susan Lankester, Sharifah Aleysha, Jihan Muse, Mark Adam, Namron, Alvin Wong, Sabri Yunus dan Othman Hafsham.

Bakal bersiaran sebanyak 10 episod, Keluarga Baha Don mengisahkan tentang Jo Don (Remy Ishak), seorang chef yang bercita-cita untuk mengejar kemahiran memasaknya di Eropah. Dia mengalami dilema setelah kematian bapanya, Baha Don yang telah meninggalkan wasiat yang meminta Jo untuk mewarisi perniagaan keluarga. Tanpa dia sedari, ayahnya adalah sebenarnya seorang don terkenal yang menggunakan perniagaan makanannya sebagai perantara untuk urusan haram dalam industri makanan. Drama penuh konflik tidak dijangka ini turut diselitkan dengan kisah percintaan di antara Jo dan Kesuma (Jihan Muse), namun ibunya, Mama Don (Susan) mahukan dia berkahwin dengan anak kenalannya yang dilakonkan Melissa Campbell.

Adakah Jo mengambil alih perniagaan bapanya atau teruskan impiannya untuk bergelar chef seperti yang dicita-citakannya selama ini? 

Remy Ishak Bertutur Bahasa Perancis

Remy Ishak ternyata membawa karakter berbeza menerusi Keluarga Baha Don. Momen paling tidak boleh dia lupakan adalah apabila dapat bertemu dengan ramai pelakon hebat yang menjadi idolanya. Dia juga akui antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi adalah ketika perlu berbahasa Perancis.

“Ketika dilamar untuk drama ini, saya mudah jatuh hati kerana Keluarga Baha Don menampilkan unsur ‘black comedy’ yang biasanya dimainkan produksi luar negara. Rasa sayang jika tidak ambil watak Jo Don ini kerana ramai pelakon gred A seperti Namron dan Sabri Yunus yang juga terlibat bersama. Selain itu, ia membuka peluang untuk saya melebarkan sayap lebih jauh dengan drama dalam talian seumpama ini yang bukan saja boleh ditonton di Malaysia, malah negara lain juga.

“Antara cabaran untuk watak ini adalah apabila saya perlu berbahasa Perancis! Lidah Melayu ni agak berbelit juga mahu bertutur sedemikian. Ketika di set penggambaran, memang ada orang yang tahu berbahasa Perancis yang mengajar saya. Cuma itulah, apabila ada saja scene yang memerlukan saya bercakap bahasa Perancis, biasanya akan mengambil masa selama hampir dua jam untuk diselesaikan,” jelas Remy.

Remy juga menyatakan bahawa karakter Jo yang dibawakannya dalam drama ini cukup berbeza dengan karakter dirinya sendiri. Jo adalah seorang yang naif dan hidupnya banyak bergantung dengan orang lain, terutama bapa dan kekasihnya. Diri Remy sendiri pula adalah seorang yang berdikari.

Jihan Muse Cabar Diri Lakukan Aksi Sukar

Selain itu, menurut Jihan Muse pula, dia perlu melakukan pelbagai aksi yang mencabar seperti terpaksa berenang dalam selut, panjat lori dan sebagainya bagi menjayakan drama ini. Berperanan sebagai kekasih kepada Jo Don lakonan Remy Ishak, Jihan akui tidak begitu sukar bergandingan bersama Remy kerana pernah bekerjasama sebelum ini.