Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s Kembali

Pencalonan dibuka mulai hari ini sehingga penghujung bulan Mac 2019.

Dengan sambutan dan maklum balas yang  menggalakkan pada tahun lalu, McDonald’s Malaysia terus memberi pengiktirafan kepada para guru dengan pelaksanaan anugerah tahunan iaitu Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald’s.

YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia bersama Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia melancarkan Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2019.

Memasuki tahun ketiga ia dilaksanakan, McDonald’s memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mencalonkan guru mereka mulai hari ini. Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada guru yang melaksanakan tanggungjawab mereka melebihi tugas hakiki demi mendidik pelajar dan memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi lebih baik.

Pada tahun lepas, anugerah ini telah menerima 3,000 pencalonan daripada rakyat Malaysia dan hanya 25 guru terpilih untuk menerima anugerah ini dengan kisah inspirasi mereka dalam mendidik anak bangsa. Sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan pada 16 Mei 2019, McDonald’s berharap dapat menerima lebih banyak pencalonan, yang boleh terus memberi inspirasi kepada warga pendidik, ibu bapa dan juga pelajar.

Setiap penerima anugerah akan menerima wang tunai bernilai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan dalam satu majlis yang dianjurkan sekolah masing-masing sempena sambutan Hari Guru. Pencalon guru tersebut pula akan menerima baucar hadiah McDonald’s bernilai RM200. Antara kriteria bagi pemilihan pemenang termasuklah usaha meningkatkan pencapaian pelajar, teknik pengajaran yang inovatif, tindakan melebihi tugas hakiki untuk membantu pelajar dan juga impak positif guru terhadap diri pelajar.

Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s adalah salah satu inisiatif di bawah program kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan McDonald’s Malaysia pada tahun 2019. Rakyat Malaysia yang ingin membuat pencalonan boleh berbuat demikian bermula 1 Mac hingga 31 Mac 2019 di laman sesawang www.mcdonalds.com.my.

Sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini, McDonald’s juga akan menganjurkan seminar motivasi yang kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya di beberapa lokasi di seluruh negara. Ceramah motivasi ini akan disampaikan oleh penceramah motivasi terkenal Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah.