Afgan, Masih Memukau!

Inspirasi membuahkan kejayaan.

Konsert Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur 2019 telah berjaya memukau kira-kira 2,000 peminat setia Afgan. Konsert yang turut menampilkan Dato’ Sheila Majid ini telah diadakan di HGH Convention Centre, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Konsert dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan Arjuna. Membawakan lagu-lagu hits seperti Kenangan Terindah, Mungkin Nanti, Kekasih Gelapku, Januari, Peri Cintaku dan Hapus Aku, sudah cukup untuk membuat peminat teruja dan turut sama menyanyi. Jeritan peminat dan tepukan gemuruh kedengaran sebaik sahaja Afgan muncul.

Dimulakan dengan lagu Jalan Terus, Afgan mendendangkan 16 lagu di konsert ini termasuk duet bersama Dato’ Sheila Majid menerusi lagu Bawalah Cinta dan Begitulah Cinta. Kolaborasi kedua-dua penyanyi terkemuka ini berjaya mencipta magis tersendiri dan penonton seakan dibuai perasaan tatkala mendengar nyanyian tersebut.

Ternyata penyanyi kelahiran Jakarta ini memberikan kelainan daripada konsert yang pernah diadakan sebelum ini. Membawakan tema Inspirasi pada konsert kali ini, Afgan berharap peminat dapat rasa suntikan semangat untuk terus berusaha dan mengejar impian. Bersesuaian juga dengan tema, impian Afgan untuk mengadakan persembahan satu pentas bersama idolanya, Dato’ Sheila Majid sudah tercapai.

Untuk pengetahuan semua, Konsert Inspirasi Afgan Live di Kuala Lumpur 2019 ini juga menjadi konsert terakhir Afgan sebelum berehat seketika kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap penghasilan karya baharu yang lebih segar, selepas kejayaan mengadakan siri Konsert DEKADE di Malaysia tahun lalu dan di Indonesia tahun ini.

Sewaktu hari berlangsungnya konsert, peminat yang hadir turut disediakan pilihan makanan dan
minuman sementara menantikan konsert bermula. Paling istimewa adalah menu Inspirasi Durian Cendol daripada Durian King TTDI.

Selain Popcorn Studio Sdn Bhd, konsert ini turut mendapat tajaan dan kerjasama daripada HGH Convention Centre, Durian King TTDI, Ganad, Redbox dan Greenbox.