Afgan Kembali Dengan Konsert Inspirasi

Sekali lagi bakal menggegarkan Malaysia!

Selepas konsert Dekade, penyanyi dan penulis lagu terkemuka Indonesia, Afgansyah Reza atau lebih dikenali sebagai Afgan bakal kembali ke Kuala Lumpur untuk tahun ketiga berturut-turut menerusi sebuah konsert Inspirasi – Afgan Live di Kuala Lumpur 2019. Ia bakal berlangsung pada 5 Oktober 2019 (Sabtu), 8.30 malam bertempat di HGH Convention Centre, Kuala Lumpur.

Bertemakan ‘Inspirasi’, konsert ini bertujuan menyuntik semangat, memberi ilham dan berkongsi sumber inspirasi pelantun lagu ‘Jodoh Pasti Bertemu’ dalam mengharungi cabaran sepanjang tempoh pembabitannya dalam industri muzik. Konsert ini juga pastinya lebih istimewa kerana buat julung kalinya bakal menampilkan Datuk Sheila Majid sebagai artis jemputan yang juga adalah idola kepada Afgan sendiri.

Dianjurkan Popcorn Studio Sdn Bhd, konsert ini bakal membuahkan kolaborasi terunggul di antara dua penyanyi tersohor Malaysia dan Indonesia. Ketua Pegawai Eksekutif Popcorn Studio, Erik Ong berkata, “Pengaruh muzik Afgan dan kekuatan populariti, serta permintaan tinggi daripada peminat muzik tanah air menjadi antara sebab utama Popcorn Studio memilih untuk menganjurkan konsert ini. Belum pernah ada mana-mana penyanyi lelaki, khususnya artis bukan tempatan yang setiap tahun mengadakan konsert berskala besar seperti Afgan.” Ini sekali gus membuktikan Afgan berada di dalam kelasnya yang tersendiri.

HGH Convention Centre Kuala Lumpur telah dipilih sebagai lokasi rasmi konsert dan peralatan serta teknologi terkini di sana pasti dapat memberi impak dan pengalaman berbeza buat penonton. 

HARGA TIKET

Tiket konsert telah mula dijual bermula 25 Jun 2019 dan boleh didapati pada harga RM299
(Silver), RM399 (Gold), RM599 (VIP) dan RM1200 (Royal Box).

Berita baik buat peminat Afgan, pembeli terawal berpeluang menikmati diskaun sebanyak 15 peratus untuk pembelian tiket kategori VIP, Gold dan Silver dan tawaran ini adalah terhad.

Manakala pembeli tiket Royal Box bakal menerima pas Meet & Greet dan minuman ringan sebelum berlangsungnya konsert.

Sebarang maklumat lanjut, anda boleh layari: https://proticket.com.my/inspirasi2019-afganliveinkualalumpur/.