Adab Menziarahi Jenazah dan Melawat Kubur

Menziarah kubur terutama pada musim perayaan bagaikan satu budaya dalam kalangan masyarakat Melayu. Namun tidak dinafikan, masih ada persoalan timbul sama ada wanita dibenarkan atau tidak menziarahi kubur.

Menziarahi kubur adalah antara tanggungjawab sebagai seorang muslim. Ini kerana perbuatan menziarahi kubur mampu memberikan manfaat kepada si mati dan juga individu yang masih hidup. Disebabkan itu, tiada halangan kepada wanita untuk menziarahi kubur asalkan mereka tidak menangis keterlaluan, mampu menahan emosi dan kedatangan mereka tidak mendatangkan fitnah.

Kredit: Shutterstock

Mengunjungi tanah perkuburan adalah satu kemestian tidak kira kepada lelaki mahupun wanita. Ada pendapat mengatakan wanita tidak boleh menziarahi kubur terutama bagi mereka yang berada dalam haid. Tetapi ada juga pendapat yang mengatakan sebaliknya.

Memang benar wanita tidak digalakkan untuk ke kubur kerana naluri mereka cukup halus dan mudah tersentuh, namun ia tidak berdosa kerana hukum wanita menziarahi kubur adalah harus. Begitu juga dengan wanita yang sedang dalam haid, mereka dibenarkan untuk menziarahi kubur, tetapi pastikan mereka memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan.

Bukan itu sahaja jika menziarahi makam Rasulullah SAW dan pusara ibu bapa, mereka akan dikurniakan ganjaran pahala yang besar. Jika disedekahkan bacaan Yasin atau ayat al-Quran, ia akan meningkatkan pahalanya dan membawa kebaikan kepada dirinya serta anak-anaknya.

Tidak hanya kubur orang Islam, Umat Islam juga dibenarkan untuk mengunjungi tanah perkuburan orang bukan Islam. Cuma kita dilarang atau ditegah untuk mendoakannya. Kata-kata seperti tenanglah kamu di sana atau semoga dirahmati Tuhan, tidak dibenarkan kerana ia adalah doa. Sebaliknya ungkapan kata untuk menenangkan keluarga si mati dibenarkan.

Adab ketika di kubur:

  1. Memberi salam kepada ahli kubur.
  2. Memakai pakaian menutup aurat terutama bagi wanita.
  3. Dilarang melangkah kubur dengan sengaja.
  4. Tidak dibenarkan untuk berseronok di kawasan kubur. Diharuskan untuk mengambil gambar di kubur tetapi bukan dengan raut senyuman. Pastikan gambar itu tidak mengaibkan si mati dan dirinya sendiri.
  5. Membaca ayat suci al-Quran dengan niat pahala bacaan itu sampai kepada si mati.
  6. Membukan kasut sebagai tanda penghormatan jika tidak membahayakan.
  7. Membaca doa dan disedekahkan kepada si mati. Seeloknya berdoa menghadap kiblat.

Keadaan sudah banyak berubah kini kerana kebanyakan mereka yang mengiringi jenazah ke kubur sudah lupa adab yang perlu mereka ikut. Berikut antara yang sering dilakukan:

  1. Bergelak ketawa dan bergurau senda sesama sendiri.
  2. Menghisap rokok.
  3. Duduk di atas kubur. Islam melarang umatnya daripada duduk di atas kubur kerana itu di anggap sebagai tidak menghormati si mati.
  4. Membuat binaan kekal dan menghias kubur berlebih-lebihan.
  5. Berborak sesama sendiri.
  6. Menabur bunga rampai. Seeloknya ditanam pokok bunga di atas pusara kerana tumbuhan ini akan mendoakan si mati.