7 Restoran Mesra Muslim Kena Cuba Di Taiwan

Ada beza dengan berstatus Halal ya, kenalah tahu...

Bila hendak mengunjungi negara di mana penduduknya majoriti bukan Islam, gusar memikirkan di mana paling sesuai hendak menjamu selera.

Jelita baru-baru ini mendapat jemputan Taiwan Tourism Board untuk ke Taipei bagi menikmati jelajah mesra Muslim. Sudah tentu, kami telah dibawa ke restoran Halal serta yang dikategorikan sebagai mesra Muslim.

Siapa kata Taiwan tiada seleksi makanan halal?

Apakah bezanya? Restoran berstatus Halal sudah tentu 100 peratus dapur, bahan serta perkakasannya memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk meraih pensijilan Halal. Bagi restoran mesra Muslim, seperti diperhatikan, pengunjung beragama Islam akan mendapat ruang khas dengan perkakasan yang lengkap dilabel Halal atau ada titik biru atau merah. Dapur untuk memasak hidangan mesra Muslim juga tidak bercampur dengan dapurnya yang lain.

Menurut Salahudin Ma, wakil Persatuan Cina Muslim di Taipei, bukan mudah untuk mana-mana tempat mencapai status Halal kerana ada banyak syarat perlu dilengkapi namun makin banyak lokasi menjamu selera yang mempunyai sijil Muslim Friendly (mesra Muslim), di mana anda tidak perlu ragu akan statusnya.

Bila di Taipei, jom cuba:

Da Antonio di Taipei 101

Titik biru pada pinggan mangkuk menunjukkan ianya hanya untuk kegunaan Halal.

Menawarkan menu mesra Muslim daripada pilihan sup sayuran, sup cendawan berkrim, risotto dan spaghetti. Anda pasti terpaku dengan saiz hidangan individu terutama Grapefruit and Seafood Salad in Olive Oil and Vinegar yang amat besar. Jika tak mahu membazir, baik berkongsi hidangan.

Suasana restoran ini tampak mewah dan luas selesa. Sempat juga berbual dengan seorang daripada pelayan di sini, ingatkan orang lokal, rupa-rupanya dia berasal dari Kelantan! Belajar di Taipei sebelum sambung bekerja di situ untuk mencari pengalaman. Kecilnya dunia…

Safranbu Turkish Restaurant, Taipei

Berstatus Halal, ia menghidangkan pelbagai menu Asia Barat. Siapa yang rindu nasi, inilah tempat anda tapi rasa pedasnya tidaklah seperti kebiasaan kerana ia lebih kepada rasa rempah ratus.

Suasananya mesra dan ramai pengunjung tempatan turut ke sini.

Fleur De Chine Rainbow Cloud, Sun Moon Lake

Teringin menu mewah sentuhan chef hotel bertauliah? Di sinilah tempatnya. Setiap satu hidangan yang dihantar dimasak depan kami dan rasanya amat segar juga amat lazat.

Antara yang teringat di minda adalah telur stim dengan kaviar, udang & ikan yang disisir garam hitam juga selain daging panggang.

Paling memudahkan, pihak restoran turut menyediakan ruang untuk solat lengkap sejadah! Solat dilatari pemandangan indah di Sun Moon Lake, seakan mimpi jadi kenyataan.

Yunus Halal Restaurant, Taipei

Jika anda rindukan masakan yang hampir dengan Malaysia, di sini ada menu nasi dan lauk ala masakan Thai.

Pesanlah tomyam campur, telur dadar, ikan masak stim dan daging halia untuk menghilangkan rasa lapar. Di sini juga ada dilengkapi kemudahan surau.

Restoran Halalan & Toyyiban, Taipei

Pemiliknya orang tempatan bukan beragama Islam tetapi dia mengusahakan restoran ini kerana begitu tertarik dengan konsep menu Halal, malah pergi mempelajarinya di Malaysia.

Menu ditawarkan termasuk gulai daging kambing dan mi udang yang sememangnya cukup rasa.

Lohas Kitchen di Flying Cow Ranch, Tongxiao

Bila anda berkunjung ke Flying Cow Ranch, anda pasti tidak sangka di restorannya ada tersedia ruang dan dapur khusus untuk pengunjung Muslim.

Di sini, anda mesti cuba stimbot susu lembu segar dan roti susu cecah susu pekat. Usah risau, pihak restoran menggunakan perkakasan berlabel Halal.

Ice Monster, Taipei

Tidak lengkap hari anda jika tidak cuba manisan penutup hidangan. Mencari sesuatu yang unik? Pergi cuba Ice Monster.

Menyediakan pelbagai manisan sejuk ais yang disagat, anda boleh pilih dengan rasa buahan segar. Paling popular di sini adalah mangga segar malah ada juga pilihan untuk peminat Boba.

 

Baca juga: Hidangan Halal Di Bali Anda Kena Cuba