5 Tip Untuk Berikan Sokongan Pada Pesakit Kanser Payudara

Berikan sokongan kepada pesakit kanser payudara agar mereka tidak bersendirian menghadapi penyakit itu

Apabila insan tersayang disahkan menghidap kanser payudara, percayalah, bukan hanya dia yang akan terjejas. Ahli keluarga dan rakan juga mungkin akan rasa tertekan dan perlu bersedia untuk menghadapi segala perubahan dari segi tingkah laku, mood, keperluan dan keadaan fizikal pesakit kanser. Oleh itu, Jelita kongsikan lima tip untuk anda berikan sokongan pada  pesakit kanser payudara.

kanser payudara

Gambar: Shutterstock

Rasa bebas untuk bertanya kepada doktor

Sebagai ahli keluarga, bertanyakan soalan dapat membantu anda dan juga pesakit untuk lebih memahami apa yang berlaku dan sentiasa ingat apa yang doktor katakan.

Jadi lebih selektif apabila mencari maklumat dari sumber lain

Terdapat banyak maklumat mengenai barah payudara yang boleh didapati tetapi tidak semua itu berguna dan ada yang mungkin membahayakan. Pilih makumat yang ingin anda kongsikan bersama pesakit dengan berhati-hati dan hormati pilihannya untuk tidak mendengar atau menerima nasihat anda.

Berikan sokongan

Sokongan boleh datang dalam pelbagai cara. Anda mungkin boleh menemani mereka untuk menjalani rawatan kemoterapi. Ajak mereka berborak agar mereka tidak terlalu memikirkan tentang rawatan yang sedang dijalankan.

Memahami bahawa pesakit kanser payudara sedang melalui tekanan berat

Tekanan, ditambah dengan kesan ubat atau ketidakselesaan akibat rawatan boleh membawa kepada perasaan kemurungan atau marah dan juga perubahan dalam kelakuan. Sentiasa berikan semangat kepada pesakit untuk kekal aktif dan berfikiran positif.

Ingat untuk menjaga keperluan anda juga

Dalam membantu pesakit menghadapi kanser payudara, ahli keluarga dan rakan mungkin akan rasa tertekan juga. Cuba untuk berbincang rasa risau dan takut dengan seseorang dan jangan takut untuk mendapatkan bantuan sokongan daripada rakan anda sendiri.