4 Hijabi Harumkan Nama Malaysia di Asia’s Got Talent

Jelita menemubual NAMA yang berjaya menarik perhatian di Asia’s Got Talent.

Berhijab bukanlah penghalang bagi sesiapa saja yang ingin mengejar cita-cita menjadi penyanyi.

Bukan rupa jadi pertaruhan tetapi bakat yang diserlahkan, begitulah yang berjaya dilakukan kumpulan empat wanita berhijab dari Malaysia, menggelar diri mereka Nama apabila mencabar diri untuk menyertai pertandingan Asia's Got Talent. Keempat-empat wanita yang juga penuntut Universiti Malaya bukan sekadar menunjukkan bakat nyanyian padu di pentas malah telah berjaya ke pusingan seterusnya, sebahagian usaha dan perjuangan mereka untuk mengharumkan nama Malaysia.

Tanpa melengahkan waktu, Jelita merebut peluang untuk menemubual empat wanita terdiri daripada Nur Farahida, 24, Norfazira, 24, Noor Syamimi, 24, dan Nur Fazrina, 28, yang berjaya menarik perhatian di pertandingan pencarian bakat tahap antarabangsa ini.

2 of 4

Unik nama Nama, kenapa memilihnya?

Kami merasakan Nama amat mudah disebut. Lebih-lebih lagi Asia’s Got Talent ini adalah sebuah platform yang bertaraf antarabangsa justeru, kami mahukan nama kumpulan mudah untuk diingati.

Apakah yang membuat anda memilih untuk menyertai uji bakat di Asia’s Got Talent?

Sebelum ini kami ada membuat lagu cover, mengadakan persembahan di acara korporat namun daripada segi pendedahan kumpulan kami, Nama masih kurang dikenali. Disebabkan itu, kami merasakan Asia’s Got Talent adalah platform terbaik bagi memperkenalkan kumpulan Nama serta bagi menembusi pasaran muzik di Malaysia.

Siapakah idola anda?

Keempat-empat kami mempunyai idola yang berbeza. Nur Farahida, meminati Taylor Swift, Norfazira, sukakan suara Adele. Manakala Noor Syamimi, gemarkan kelunakan vokal Alicia Keys dan Nur Fazrina, pula meminati Raisa Andriana.

2 of 4