4 Hijabi Harumkan Nama Malaysia di Asia’s Got Talent

Jelita menemubual NAMA yang berjaya menarik perhatian di Asia’s Got Talent.

Berhijab bukanlah penghalang bagi sesiapa saja yang ingin mengejar cita-cita menjadi penyanyi.

Bukan rupa jadi pertaruhan tetapi bakat yang diserlahkan, begitulah yang berjaya dilakukan kumpulan empat wanita berhijab dari Malaysia, menggelar diri mereka Nama apabila mencabar diri untuk menyertai pertandingan Asia’s Got Talent. Keempat-empat wanita yang juga penuntut Universiti Malaya bukan sekadar menunjukkan bakat nyanyian padu di pentas malah telah berjaya ke pusingan seterusnya, sebahagian usaha dan perjuangan mereka untuk mengharumkan nama Malaysia.

Tanpa melengahkan waktu, Jelita merebut peluang untuk menemubual empat wanita terdiri daripada Nur Farahida, 24, Norfazira, 24, Noor Syamimi, 24, dan Nur Fazrina, 28, yang berjaya menarik perhatian di pertandingan pencarian bakat tahap antarabangsa ini.

1 of 4

Bagaimana kumpulan ini terbentuk?

Kami berempat sering memasuki pertandingan menyanyi, iaitu Festival Seni di Universiti Malaya (UM) yang dianjurkan setiap tahun. Selepas itu, kami memutuskan untuk membentuk kumpulan serta membuat persembahan di beberapa acara, namun ketika itu, lagu yang sentiasa disampaikan lebih kepada berunsurkan nasyid dan harmoni.

Kumpulan Nama ini berada di bawah label apa?

Kami berempat kini berada di bawah label RFQ Entertainment. Rafiqin Infinatez adalah jurulatih vokal bagi kumpulan kami dan dia juga adalah seorang penggubah vokal, pencungkil bakat juga pengasas bagi kumpulan Nama.

1 of 4