Peminat Sanggup Beratur Untuk Koleksi Uniqlo x BT21

Koleksi Uniqlo X BT21 sudah hampir habis dijual di dalam talian

Kumpulan KPOP, BTS sekali lagi menawan dunia dan kali ini menerusi koleksi rangkaian UT (Uniqlo T-shirt) BT21, hasil kerjasama dengan Uniqlo. Rangkaian ini sudah mula dijual di butik dan juga dalam talian Uniqlo bermula pada hari ini, 21 Jun 2019 (Jumaat). Sejak Uniqlo mengumumkan pelancaran kerjasama dengan BT21, rata-rata peminat sudah tidak sabar menantikan kehadiran koleksi tersebut. Bahkan ada yang sanggup beratur di hadapan butik Uniqlo bermula pada malam semalam sehingga hari ini. Setakat ini, hampir kesemua rekaan Uniqlo X BT21 telah habis dijual di dalam talian.

BT21 adalah projek pertama yang disampaikan oleh Line Friends menerusi Creators Friends. Terdapat lapan karakter BT21 yang dinamakan Koya (RM), RJ (Jin), Shooky (Suga), Mang (J-Hope), Chimmy (Jimin), Tata (V), Cooky (Jungkook) dan Van. Setiap pelekat BT21 yang dikeluarkan di Line Store sejak September 2017 telah mencatatkan lebih daripada 28 juta muat turun dan lebih dari 3.3 bilion pendedahan Twitter di seluruh dunia.

Gambar: Instagram

Setiap karakter BT21 ini disayangi oleh generasi milenium di seluruh dunia. Ini kerana setiap karakter BT21 ini telah diilhamkan sendiri oleh ahli kumpulan Korea terkenal di dunia iaitu BTS.

Untuk menarik minat pengguna, UT telah mengubah rekaan baju T yang mengekspresikan keperibadian dan cita rasa pemakai. Menawarkan sesuatu yang istimewa untuk Army di Malaysia, rangkaian ini akan menjanjikan kualiti dan keselesaan kepada pemakai.

Bagi peminat BTS dan BT21, jangan lupa untuk dapatkan koleksi ini secepat yang mungkin.