Mid Valley Jadi Lokasi Butik Terbesar Lancôme Di Asia Tenggara

Khidmat rawatan wajah juga ada di sini

Mid Valley Megamall telah menjadi lokasi terkini yang menempatkan butik terbaru Lancôme yang berukuran 940 kaki persegi. Ini adalah butik terbesar jenama kecantikan di Asia Tenggara yang turut menyediakan tiga bilik perkhidmatan eksklusif, ruang dalaman yang bergaya dan mewah dan juga perkhidmatan yang tiada tandingan.

Menampilkan konsep reka bentuk yang cukup mewah, melangkah masuk ke dalam butik tersebut akan membuatkan seolah-olah anda berada di Paris dan anda juga dapat melihat beberapa produk utama yang dipamerkan di butik tersebut seperti Génifique, Teint ídole dan juga Absolute.

Selain daripada reka bentuk dan produk yang dipamerkan, butik terbaru ini juga turut dilengkapi dengan perkhidmatan penasihat kecantikan yang akan mengenakan uniform baju merah jambu moden dan skirt hitam yang disediakan. Bagi penasihat kecantikan Muslim pula, mereka akan mengenakan tudung merah jambu yang direka oleh Naelofar Hijab yang ditaja oleh pengasas, Neelofa yang juga rakan eksklusif Lancôme.

Tidak hanya itu, di butik terbaru Lancôme ini anda boleh mendapatkan khidmat rawatan wajah sambil diiringi dengan muzik lembut yang bermain di dalam sebuah bilik khas yang disediakan di belakang butik ini. Turut mengiringi sesi rawatan anda adalah paparan suasana Paris pada skrin yang diletakkan pada bahagian siling. Jangan risau, pakar kecantikan yang menawarkan perkhidmatan mereka hanya dilatih oleh Master di Perancis.

Anda juga boleh mendapatkan rundingan percuma seperti pengalaman penjagaan kulit dan alat solek boleh dilakukan dalam masa dua hingga 45 minit. Lebih menarik, butik ini juga menawarkan aplikasi Modiface- cermin maya yang membantu anda untuk mencari solekan yang betul. Anda pasti akan rasa teruja dengan kecanggihan cermin tersebut yang dapat membantu anda mencari warna yang sesuai dengan tona kulit anda.

Pulang dengan memori indah dengan hadiah istimewa daripada Lancôme. Di butik terbaru ini, Lancôme menawarkan perkhidmatan istimewa di mana anda boleh membuat ukiran pada botol Advanced Génifique, lipstik dan wangian anda. Anda boleh mengukir nama sendiri atau nama insan tersayang bersama simbol Menara Eiffel, Lancôme Rose atau ikon bintang.