Gigi Hadid Dilabel Hero, Halang Prankster Di Pentas Peragaan

Gigi Hadid dapat pujian ramai!

Tidak semua wanita mempunyai kelayakan atau ciri untuk menjadi seorang model tetapi ini tidak menghalang seorang wanita ini yang nekad untuk memperagakan diri di pentas peragaan sehingga sanggup menceroboh pentas peragaan daripada jenama fesyen terkenal.

Kejadian itu memperlihatkan seorang wanita melompat naik ke atas pentas peragaan Chanel yang berlangsung pada Minggu Fesyen Paris. Pada ketika itu, model sedang berjalan di atas pentas apabila secara tiba-tiba wanita itu melompat naik ke atas pentas dan berjalan bersama model tersebut.

Menurut BBC News wanita itu telah dikenal pasti sebagai Marie S’Infiltre, seorang pelawak yang nama sebenarnya adalah Marie Benoliel.

Benoliel dikatakan telah menghadiri pertunjukan fesyen itu dengan memakai jaket dan skirt houndstooth, jenis pakaian yang sesuai dengan koleksi Chanel yang baru ini dan mungkin ada yang tidak sedar apabila dia melompat naik ke atas pentas dan berjalan di antara model yang sedang memperagakan koleksi terbaru jenama tersebut.

Benoliel hampir selesai berjalan ke landasan yang panjang apabila secara tiba-tiba dia dihalang oleh model terkenal, Gigi Hadid.

Supermodel itu dilihat menghampiri Benoliel dan memimpinnya keluar daripada landasan. Beberapa lensa kamera sempat merakam aksi spontan Benoliel dan juga Hadid yang menamatkan aksi tersebut. Hadid kelihatan tidak gembira dengan aksi yang dilakukan oleh pelawak itu.

Menurut laporan daripada BBC News lagi, Benoliel telah merancang aksi itu sebagai sebahagian daripada publisiti. Jurucakap Chanel juga tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap pelawak tersebut.

Walaupun Benoliel cuba untuk mendapatkan perhatian daripada aksi yang dilakukannya, Hadid yang sebenarnya menerima pujian dalam media sosial dan mula menjadi trend di Twitter, tambah BBC lagi.

Sumber Gambar: Twitter dan Instagram