Telekung Siti Khadijah Luaskan Pengaruh Ke Indonesia

Rai #SKDahSedekad dengan gemilangnya!

Sedekad menawarkan rangkaian pakaian solat berkualiti, Siti Khadijah (SK) kini melebarkan pasaran jenamanya ke Indonesia dengan pembukaan dua butik di Jakarta dan Bandung.

her inspirasi - telekung siti khadijah

Antara koleksi terbaru telekung Siti Khadijah.

Menurut Mohammad Munzir Aminuddin, ketua eksekutif Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, SK mahu menampung permintaan pengguna telekung di kalangan wanita bukan saja di Malaysia, Singapura dan Brunei malah di Indonesia.

“Empat lagi butik akan dibuka tahun ini, satu di Jakarta, setiap satu di Pekan Baru, Surabaya dan Makassar,” kongsinya ketika acara Malam Sedekad Siti Khadijah, baru-baru ini.

Sambutan sempena 10 tahun berada di pasaran berkenaan diadakan meriah membawa tema Sedekad Kesetiaan bagi meraikan kakitangan SK di Malaysia dan Indonesia selain memberikan penghargaan atas dedikasi mereka yang telah menjayakan empayar SK setakat ini.

Dalam ucapan Padzilah Enda Sulaiman, pengasas SK berkenaan sempat mengimbau perjalanan SK sejak 10 tahun lalu. Perbezaan ketara apabila ianya bermula dengan hanya 200 pasang telekung dan kini syarikatnya mampu mengeluarkan sehingga 2,000 helai sehari.

“Daripada hanya khusus telekung, kini ia berkembang ke pakaian wanita dan lelaki ke produk penjagaan diri sehinggalah ke pembukaan Kolej Seni Jahitan Srikandi,” katanya yang turut memperkenalkan telekung secara global sebagai pakaian solat ideal buat Muslimah di United Kingdom, Jepun, Turki dan Timur Tengah.

Ibu kepada enam anak lelaki ini amat bertuah kerana kejayaan perniagaan SK pada hari ini mendapat sokongan padu suaminya, Aminuddin Mohd Nasir juga hampir kesemua enam anak lelakinya, masing-masing ada memegang jawatan dalam bahagian sendiri.

Paling membanggakan apabila barisan ayat “Nak… Mak teringin nak pakai telekung Siti Khadijah” berjaya menobatkan anak keduanya, Mohammad Munzir sebagai Ketua Pegawai Pemasaran Terbaik pada 2018.

Sedia maklum, penggunaan fabrik berkualiti cotton-feel dengan rekaan inovatif fleksible pada bahagian wajah – mudah regang di dahi dan dagu tanpa perlu dipin atau memakai anak tudung menjadikan telekung SK unik berbanding telekung lain di pasaran.

Manakala perincian minimalis seperti renda menambah seri si pemakai namun masih kekal ringkas mengikut Syarak. Manakan tidak, Padzilah sendiri mengambil masa enam bulan bagi mengkaji setiap inci rekaan bagi menghasilkan telekung sempurna buat Muslimah.

Mengukuhkan lagi jenama Malaysia ini, ianya turut didaftarkan di bawah MyIPO dan segala trademark juga rekaan yang ditiru boleh diambil tindakan undang-undang.

Malah, rekaan telekung Siti Khadijah Klasik dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987 sejak 7 Januari 2011. Bila mana mereka menerima informasi penjualan telekung SK tiruan, laporan akan dibuat pada pihak berwajib seperi KPDNKK. Selepas itu serbuan besar-besaran pernah dilakukan melibatkan rampasan beribu-ribu telekung tiruan yang menggunakan logo SK.

Sempena acara sambutan gilang-gemilang tempoh hari, antara tetamu terpilih termasuk selebriti yang turut hadir adalah Datin Seri Normala Samsudin, Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa dan Fauziah Nawi.

Tetamu malam itu turut dihiburkan dengan showcase telekung terbaru SK selain persembahan daripada Aman Ra, Nora serta Jay Jay.

Telekung putih sentiasa jadi pilihan ramai.

Koleksi pakaian buat sang pria.

Turut ditawarkan, baju Melayu buat cik abang.

Renda penuh bagi yang sukakan perincian sebegini.

Yang berwarna pastel antara koleksi popular Siti Khadijah.