Rahsia Kecantikan Puan Sri Normala Samsudin

Masih cantik dan langsing biarpun sudah menginjak usia 50 an. Ini rahsianya!

Puan Sri Normala Samsudin, satu nama besar di dalam dunia penyiaran. Siapa yang tidak tertawan melihatnya, punya susuk tubuh dan rupa paras jelita, setiap tutur caranya bijak menyampaikan info berguna, wajarlah dia pernah bergelar Pengacara TV tersohor tanah air.

Walaupun menginjak usia 50-an, kecantikannya tidak pernah pudar.  Pastinya membuatkan ramai tertanya apakah rahsia Normala dalam mengekalkan keremajaannya. Tiada yang istimewa, dia mengamalkan rejim kecantikan biasa, selain perlu mendapatkan tidur dan air yang mencukupi. Amalan tradisional juga tidak dilupakan, di mana Normala mengambil inisiatif menyediakan jus pegaga dan kunyit untuk diminum setiap minggu.

 

“Untuk penjagaan wajah, saya amalkan tiga langkah biasa setiap hari iaitu mencuci, menyegar dan melembap. Solekan mesti ditanggalkan dengan bersih setiap kalinya. Saya juga biasa melakukan rawatan facial setiap bulan untuk mengekalkan kondisi kulit yang baik. Selain itu, saya mengambil vitamin dan banyakkan minum air suam serta kurangkan pengambilan ais.

“Dahulu saya ada amalkan pengambilan jamu setelah bersalin. Sekarang saya lebih terdorong kepada pengambilan jus pegaga dan kunyit yang bagus untuk kesihatan dalaman secara menyeluruh. Selepas minum jus ini, saya dapat rasakan kulit lebih segar dan berada dalam keadaan yang baik. Saya amalkan pengambilan jus berkenaan setiap minggu, selain turut bersenam untuk mengekalkan stamina dan bentuk tubuh yang baik. Saya tiada langsung pantang larang dalam pengambilan makanan. Disebabkan saya seorang yang suka makan, jadi perlulah seimbangkan dengan bersenam!” jelas Normala yang terlihat awet muda.