Nad Zainal Berkongsi Rahsia Kecantikannya

Ikuti tip dan rahsia cantik yang diamalkan oleh Nad Zainal

Bertubuh kecil molek, dan wajah persis keanak-akan buatkan Nad Zainal saling tidak tumpah seperti remaja belasan tahun. Siapa sangka, pelakon berbakat yang juga seorang ibu ini  pernah mengalami masalah kulit wajah sehinggakan pernah ditegur oleh seorang pengarah  drama terkenal.

Ikuti tip dan rahsia kecantikan yang diamalkan oleh Nad Zainal bagi merawat masalah kulit sensitif itu.

 

Boleh kongsikan apakah rutin kecantikan yang diamalkan setiap hari.

Jika tiada tuntutan kerja, saya lebih suka biarkan wajah tanpa sebarang calitan mekap, memadai dengan aplikasi krim tabir suria. Selain itu, saya akan cuci rambut setiap hari. Dan, yang paling penting saya akan minum minuman detoks setiap hari untuk lebih cantik dan sihat.

Pernahkah anda mengalami masalah kulit wajah yang teruk?

Ya, pernah. Kulit saya sensitif dan mudah ditumbuhi jerawat. Mungkin juga kerana saya gemar menukar dan mencuba pelbagai produk. Untuk merawatnya, di dalam tempoh pemulihan itu, saya tidak menggunakan sebarang produk kecantikan. Hanya cuci wajah dengan air suam dan memakai krim aloe vera.

Badan anda kembali langsing selepas melahirkan anak. Adakah Nad mengamalkan diet yang ekstrem?

Untuk mendapatkan kembali berat badan ideal, saya melebihkan pengambilan buahan dan sayuran. Selain itu, saya akan pastikan minum air putih yang cukup. Dan paling utama, saya mengelak makan makanan segera.

Jenis solekan yang anda gemar?

Saya suka warna tanah yang sesuai dengan kulit orang Asia. Ia nampak lebih natural bagi saya. Kalau boleh, saya  elakkan memakai bedak asas yang tebal kerana kulit saya cepat sensitif dan menjadi kemerahan.

Ikon cantik bagi anda?

Sofea Jane. Bagi saya, dia seorang yang cantik, bijak, merendah diri dan punya tarikan tersendiri. Itu ciri-ciri wanita yang cantik di mata saya.