MimpiKita Rai #KitaSepuloh Dengan Meriah

YB Nurul Izzah hadir sama menceriakan acara.

Untuk bertahan dalam industri fesyen hingga sedekad bukan perkara yang mudah dan enteng. Bagi jenama lokal diterajui tiga beradik perempuan, Nurul Zulkifli, Mira Zulkifli dan Shera Zulkifli, mimpi mereka kini menjadi nyata.

Jenama busana wanita serba feminin yang sentiasa mengetengahkan corak dan cetakan unik (sekali pandang, tahu itu identiti MimpiKita), meraikan 10 tahun dalam industri dengan pencapaian terbilang. Bukan calang-calang jenama boleh mendapat lampu hijau pusat beli-belah antarabangsa Isetan di Lot 10 Kuala Lumpur untuk melakukan pameran di ruang legar tingkat bawahnya, namun MimpiKita kini di ruang berkenaan sejak 8 Ogos dan pameran sempena sedekad jenama ini akan berada di situ sehingga 2 September depan.

Menerusi pameran berjudul #KitaSepuloh, anda boleh menyaksikan gaya dan cetakan tekstil yang direka secara eksklusif daripada 2008 hinggalah ke hari ini.

Acara istimewa ini turut menyaksikan kehadiran YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi merasmi dan meninjau sendiri pameran berkenaan.

“MimpiKita mengingatkan anda betapa impian rakyat Malaysia boleh menjadi kenyataan, terutama yang diinspirasikan oleh mereka yang benar-benar dekat pada hati, ditambah dengan kerja keras dan daya tahan yang tinggi.

Pembabitan mereka dalam Minggu Fesyen Santun London adalah sesuatu yang luar biasa,” kata Nurul Izzah dalam kenyataan media kepada Jelita.

Sementara itu, Nurul Zulkifli berkata, dia cukup bangga dapat mencapai peringkat ini dan berkongsi acara penuh berharga ini menerusi Pameran #KitaSepuloh.

“Ianya mewakili perjalanan saya dan adik-adik saya dan kami mahu berkongsi perjalanan MimpiKita sejak sedekad lalu dalam industri fesyen.

Pameran ini mengetengahkan visi MimpiKita dalam rekaan kontemporary dengan lima seksyen: Ethereal Prism, La Reve Oasis, Divine Chimera, Hues of Recerie dan La La Land.

Anda boleh melihat beberapa rekaan paling menyerlah jenama ini malah dress yang pernah digayakan selebriti terkenal.

Selain itu, MimpiKita turut bekerjasama dengan Syed Faizal Beauty untuk menghasilkan palet pemerah pipi – Pipi Palette KitaSepuloh juga koleksi sandal MimpiKita X Nelissa Hilman. Jom lihat album gambar sekitar majlis berkenaan.

Sesi memotong kain rentang dengan cetakan MimpiKita sebagai simbolik pada pembukaan pameran #KitaSepuloh.

Antara isi pameran yang menanti anda di Isetan, Lot 10, Kuala Lumpur sehingga 2 September ini.

Bergambar kenangan bersama YB Nurul Izzah (dua dari kanan).

Nelissa Hilman (dua dari kiri) bekerjasama dengan team MimpiKita untuk koleksi sandal eksklusif sempena #KitaSepuloh.

Antara produk terbaru MimpiKita, Nelissa Hilman dan Syed Faizal Beauty yang dijual bersebelahan pameran berkenaan.

Palet Pipi daripada Syed Faizal Beauty untuk anda belek dan beli.

Koleksi Nelissa Hilman eksklusif sempena #KitaSepuloh

Syed Faizal, jurusolek profesional.

Bella Daly, antara selebriti yang hadir memberikan sokongan.