Kenangan Dengan Nenek, Ceritera The Doily Duck

Kisah unik di sebalik koleksi Raya Duck.

Setiap tahun, jenama tudung premium, Duck pasti akan mengejutkan peminatnya dengan koleksi Raya yang unik dan dengan kisahnya yang tersendiri.

Tidak kurangnya tahun ini apabila Duck dan pengasas The Duck Group, Vivy Yusof melancarkan The Doily Duck edisi terhad, sempena sambutan Syawal 2018. Jenama yang sentiasa padu dengan ceritera di sebalik setiap rekaan utamanya, koleksi terbaru ini mengetengahkan kenangan zaman kanak-kanak ‘D’ persona pada jenama Duck, dengan neneknya sewaktu membuat biskut raya bersama-sama.

Penggunaan kertas doili menjadi inspirasi utama dalam cetakan koleksi kali ini, disusun bertindan membentuk cetakan yang lebih menarik. Hadir dalam lapan rona menawan dalam bentuk selendang dan empat segi, setiap skarf dijual pada harga RM300 di Duck Store KLCC, butik FashionValet dan hanya untuk tiga hari bermula Mei 18, anda boleh mendapatkannya di Centre Court, Pavilion.

Menurut Vivy dalam ucapannya di majlis pelancaran media bagi The Doily Duck ini, koleksi berkenaan yang dijual di laman web FashionValet laris dijual seluruhnya apabila ia mula dijual pada jam lima pagi. “Sebanyak 10,000 skarf habis dijual secara dalam talian. Namun, anda masih boleh dapatkannya di rangkaian kedai fizikal kami. Selain itu, peminat Duck boleh merebut peluang membelinya secara online pada Selasa depan (Mei 22),” katanya.

Jika anda berpeluang untuk ke Pavilion, bolehlah mencuba pelbagai aktiviti dan permainan menarik disediakan team Duck untuk peluang memenangi pelbagai lagi hadiah menarik.

Sementara itu, Vivy berkata, dia amat gembira dengan idea D untuk menjadikan doili sebagai inspirasi rekaan Raya untuk tahun ini. “Bila dia jelaskan mengenai (kenangan dengan nenek dan doili), saya tidak pernah pedulikannya tetapi ia memang sebenarnya satu bahagian penting bagi Raya – digunakan dalam balang biskut, di atas dulang malah di atas meja, Raya tidak akan sempurna tanpanya!

“Peringkat pengeluaran Doily Duck bukanlah mudah, tetapi ianya amat berbaloi. Raya adalah keraian terbesar umat Islam dan saya teruja dengan pelancaran koleksi edisi terhad ini – kisah D di sebaliknya, perincian lukisan tangan pada rekaannya… ianya amatlah Duck!”

 

Rona Baby Blue memikat kalbu.

Mungkinkah peminat kopi meminati yang Coffee?

Red Velvet, Pink, Coffee dan Black antara yang ditawarkan.

Permainan monokrom jadi lebih terserlah dengan Duck Doily hitam.

Manis berseri bila digayakan.