Panduan Memilih dan Menggayakan Tudung

Ini ada beberapa panduan memilih tudung  yang Jelita kongsikan.

Pelbagai kaedah memakai tudung boleh dilihat di kalangan wanita Islam dari berlainan negara. Ada yang mengenakan pin dan kerongsang manakala wanita dari Timur Tengah lebih gemar melapis skarf panjang beberapa kali kemudian diselit di bawah pipi. Biar apapun kaedah digayakan, pemakaian skarf harus selesa dan sebaik-baiknya fabrik yang telus udara agar rambut dapat ‘bernafas’ menerusinya. Ini ada beberapa panduan memilih tudung  yang Jelita kongsikan.

  1. Pilih kain dan anak tudung jenis yang sesuai dan selesa. Ukuran tudung yang tidak terlalu besar atau selendang yang tidak terlalu panjang seperti fabrik viskos dan kain kapas sesuai untuk aktiviti lasak.
  2. Pengunaan tudung berukuran segi empat fabrik tidak licin lebih praktikal untuk pernampilan wanita korporat. Jenis fabrik disarankan: kain kasa, cita bercampur, crepe dan georgette
  3. Selendang lebih sesuai digayakan pada majlis rasmi. Jenis fabrik seperti poliester, viskos, sutera dan sifon lebih menarik dipadankan dengan hiasan kerongsang di atas bahu.
  4. Aspek kesihatan rambut dan kulit kepala perlu diberi perhatian oleh wanita bertudung. Sebab itu, kita wajar memilih fabrik yang membolehkan aliran udara keluar masuk. Ia juga mengelakkan rambut berbau dan mudah gugur.
  5. Jika menggunakan kain yang tidak mudah melurut atau licin, tidak perlu mengunakan anak tudung. Bagi yang berambut pendek, memadai dengan penggunaan ‘hairband’ atau cekak yang nipis.
  6. Pastikan anak tudung atau serkup kepala tidak terkeluar dari tudung. Penampilan begini menampakkan pemakai lebih berusia.
  7. Bagi bewajah bulat atau berisi, pilih corak yang tidak terlalu tertumpu di sekeliling wajah. Lipat sedikit ke bahagian dalam pada tepi wajah agar lebih kemas.
  8. Warna tudung perlulah lembut dan hiasan tidak keterlaluan bagi yang berkulit sawo matang.
  9. Elakkan tudung bermanik pada waktu siang atau di pejabat. Ini lebih sesuai untuk ke majlis rasmi atau jamuan.
  10. Elakkan tudung bercorak jika pakaian berbunga penuh. Tudung polos lebih sesuai dipadankan. Begitu juga tudung bercorak lebih sesuai dengan pakaian polos.