5 Kaca Mata Hitam Bergaya Rekaan Selebriti Terkenal

Jelita senaraikan lima kaca mata hitam bergaya rekaan selebriti terkenal.

Selebriti, model dan influencer adalah individu yang sering dikaitkan dengan trend terkini terutama sekali dalam dunia fesyen. Mereka sering dijadikan inspirasi untuk wanita yang ingin tampil bergaya. Selebriti bukan sahaja dijadikan duta atau inspirasi untuk fesyen tetapi kini mereka juga turut tampil dengan item fesyen yang direka sendiri. Jelita senaraikan lima kaca mata hitam bergaya rekaan selebriti terkenal.

Privé Revaux

Tiga nama besar, Ashley Benson, Jamie Foxx dan Hailee Steinfeld telah bekerjasama untuk menghasilkan rangkaian kaca mata terbaru. Koleksi kaca mata hitam yang mampu milik untuk lelaki dan wanita ini turut menjadi kegemaran selebriti lain termasuk Blake Lively, Jennifer Lopez dan Bella Hadid.

Quay X Jasmine Sanders

Model terkenal dan juga influencer, Jasmine Sanders (@golden_barbie) telah bekerjasama dengan jenama terkenal, QUAY untuk melancarkan koleksi kaca mata yang diilhamkan daripada Coachella yang menampilkan kaca mata hitam yang menggunakan lensa warna cerah yang sesuai dengan tema festival muzik tersebut.

Quay X Kylie Jenner

Kerjasama ikon fesyen dengan label kaca mata terkenal dari Australia, QUAY telah melancarkan koleksi kaca matanya pada bulan Julai. Koleksi ini terdiri daripada empat kaca mata eklektik yang diilhamkan daripada budaya selebriti dengan butiran retro.

Tilda Swinton X Gentle Monster

Pelakon kepada filem Doctor Strange dan muse kepada jenama fesyen terkenal, Tilda Swinton bersama David Bowie dan Hiader Ackermann telah bekerjasama dengan label kaca mata, Gentle Monster untuk menghasilkan koleksi kaca mata hitam mewah edisi terhad. Koleksi ini terdiri daripada pelbagai gaya yang berbeza antaranya kaca mata berbentuk mata kucing kepada bentuk aviator klasik kegemaran ramai.

Kate Bosworth untuk Jacques Marie Mage

Pelakon, Kate Bosworth bukan sahaja terkenal kerana lakonannya yang hebat tetapi juga kerana penampilannya yang sentiasa tampak bergaya. Kini, dia telah memperluaskan resumenya di sektor fesyen dengan rekaan kacamata ‘Fascination.’ Direka dengan kerjasama label kaca mata yang berpangkalan di California, Jacques Marie Mage, kaca mata rekaan Kate diilhamkan oleh Marilyn Monroe. Bingkai koleksi kaca mata tersebut terdiri daripada tiga warna dan turut dilengkapi dengan perkakasan emas 18k karat.

Gambar: Instagram