Gaya Peranakan Untuk Tahun Baru Cina 2019

Innai Red tawar koleksi anggun inspirasi wanita Penang pada zaman lampau.

Bayangkan ini: siluet wanita jelita dalam busana tradisional Cina yang sekali imbas mengingatkan anda pada zaman sofistikated srikandi Pulau Pinang dulu kala.

Innai Red mempertaruhkan ilham anggun ini dalam koleksi debut sempena Tahun Baru Cina 2019 dalam paparan eksklusif kepada tetamu terpilih baru-baru ini.

Wanita jelita di atas turut membimbit tas kecil sebagai pelengkap gaya pada masa sama, memenuhi rutin harian di jalanan kolonial yang menghembuskan aestetik dan pengaruh Peranakan yang padu. Perkahwinan antara Timur dan Barat turut diketengahkan dalam potongan dan corak yang diadun kemas menerusi perincian dan hiasan pada koleksi ini.

Terdapat 14 rekaan cheongsam dan qipao moden, diinterpretasikan menerusi hasil tangan Innai Red ini. Siapa yang tidak tahu akan hasil kerja tangan sama ada ropolnya, jahitan manik, kain organza jarang dan perincian peplum yang cukup sinonim dengan jenama ini? Inilah juga yang diterjemahkan ke dalam koleksi menawan ini, dipersiapkan rapi sambil menghormati siluet tradisional namun tidak mengetepikan relevan pada zaman moden hari ini.

Setiap helaian direka dengan labuh berbeza pada lengan dan bajunya untuk menawarkan versatiliti pada gaya dan praktikaliti. Ia turut dilengkapi dengan butang Cina yang dijahit tangan untuk meraikan tradisi lama dalam cara cukup glamor.

Pilihan fabrik pastinya seiring cantik dengan rekaan. Penggunaan broked, taffeta, sutera charmeuse, organza, renda Perancis juga tulle siap sulam digunakan untuk sama ada keseluruhan busana atau dijadikan perincian pada helaian lain, menjadikan penampilan keraian paling meriah di Malaysia ini semakin segar.

Warna ditawarkan menerusi koleksi ini hadir dalam pastel ke rona terang; daripada merah cili ke ketenangan biru langit. Pastinya, tawaran pelbagai warna ini membolehkan sang pemakainya bukan saja mewakili personaliti dan gaya malah memenuhi kehendak pilihan warna terutama bagi acara bertema, atau jika keluarga mahu mengenakan skim warna tertentu bila berkumpul nanti.

Bagi sesiapa yang mahu menempahnya, Innai Red bagi Tahun Baru Cina 2019 dijual pada harga antara RM2,500 sehingga RM3,200. Untuk mengekalkan eksklusiviti, hanya lapan helaian ditawarkan bagi setiap rekaan dan hadir dalam pelbagai warna. Tempahan awal boleh dibuat sehingga 15 Januari ini, mulai 27 November lalu. Sempatlah untuk digayakan sempena keraian nanti…

Perincian jahitan tangan yang jitu dan kemas.

Selain warna famili merah, seleksi ungu menawarkan kelainan untuk yang gemar bertema.

Merah tanda tuah, tetap klasik bagi keraian Tahun Baru Cina.

Dress dengan perincian sejati masyarakat Cina, anda masih boleh gayakannya ke acara formal.

Rekaan yang berbeza untuk busana Cheongsam klasik. Warna ini tampak cukup mewah.

Peekabo! Untuk yang mahu tampak berbeza.

Broked langit biru yang melambangkan kemewahan budaya dan estetik fesyen. Dipadankan dengan aksesori Choo Yilin.

Jahitan manik pada hujung lengan itu menambah nilai pada busana ini.

Ropol berganda untuk sang fesyenista yang gemarkan perhatian.