Gabungan Identiti Unik Untuk De Orient

Neelofa turut berkongsi rancangannya selepas Raya nanti.

Antara jenama hijab mampu-milik, Naelofar Hijab hadir dengan cetakan memukau bagi memeriahkan gaya busana Raya anda tahun ini.

Koleksi De Orient sudah dilancarkan dan menarik perhatian Jelita sendiri kerana cetakannya yang unik dan tersendiri. Lantas, kami mendapatkan wawancara eksklusif bersama pengasasnya, Neelofa sendiri untuk mengetahui lanjut mengenai himpunan tudung terbaru ini.

Apakah inspirasi di sebalik koleksi terbaru Naelofar Hijab untuk Aidilfitri 2019?

Untuk koleksi terbaru yang dikenali sebagai De Orient ini, inspirasinya datang daripada corak alami yang Lofa anggap sangat sinonim dengan trend sekarang.  Warna-warna untuk koleksi kali ini juga lebih lembut, dan juga kohesif antara setiap helaian tudung.

Berapakah jumlah koleksi yang ditawarkan?

Keseluruhannya, sebanyak sembilan rekaan berbeza untuk koleksi kali ini. Ianya termasuk semi instant shawl, semi instant, instant shawl, semi instant turban, shawl, semi instant square dan tiga rekaan tudung empat segi bercorak.

Untuk koleksi De Orient, motif cetakan ada unsur batik tetapi namanya ada sisipan Cina juga Jepun. Boleh jelaskan?

Selari dengan namanya, De Orient yang secara kasarnya mewakili negara sekitar Asia, Lofa cuba mengintegrasikan corak yang mewakili negara seperti Cina dan Jepun serta apa yang ada di Malaysia. Ia adalah adunan yang tampak sempurna.

Untuk koleksi bercetak, ia hadir dalam bentuk empat segi sama, kenapa tiada selendang?

Mengikut tinjauan yang kami telah buat, permintaan helaian tudung Naelofar Hijab lebih banyak untuk bentuk ini berbanding selendang. Justeru, buat pertama kali dalam sejarah koleksi raya Naelofar Hijab, kami hasilkan tudung printed square untuk mereka yang sangat meminati gaya sebegini. Pada masa sama, tudung solids, selendang dan turban tidak dilupakan. Pendek kata, koleksi raya kami pada tahun ini, merangkumi semua golongan.

Berapakah harganya?

Semua helaian tudung masih di bawah RM100.

Adakah ianya edisi terhad? 

Oh, koleksi kali ni bukan limited edition. Hal ini kerana, koleksi ini dikeluarkan sempena hari raya. Jadi, Naelofar Hijab telah menghasilkan De Orient dalam kuantiti yang lebih banyak bagi menampung permintaan yang sentiasa tinggi terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Setakat ini, koleksi bercetak atau polos yang paling popular bagi Naelofar Hijab?

Bagi Lofa, kedua-duanya mempunyai kelompok peminat yang tersendiri. Tetapi, pemakai hijab sudah mula berani untuk menggayakan hijab bercetak dan disesuaikan dengan gaya harian mereka. Lofa rasa ia satu perkembangan yang sangat bagus.

Di sebalik tabir pembikinan gambar kempen De Orient yang berlangsung di Peranakan Mansion, Pulau Pinang.

 

Selain tudung, adakah Naelofar Hijab juga akan pelbagaikan produk lain untuk Aidilfitri – telekung, sejadah, wangian dan lain-lain?

Untuk siri tersebut, Lofa masih memasarkan koleksi lama telekung, sejadah dan wangi. Koleksi berkenaan boleh didapati secara dalam talian dan kedai flagship NaelofarHijab.

———–

Sementara itu, Jelita juga sempat bertanyakan soalan berkenaan perkembangan terkini Neelofa sempena bulan Ramadan ini.

Apakah yang Lofa sendiri hendak capai untuk Ramadan kali ini?

Seperti sebelum ini, selain cuba menambah baik ibadah dan menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga, Lofa memilih untuk memberi fokus pada bisnes. Mungkin jika ada aktiviti sekali pun, cuma siaran langsung untuk rancangan MeleTOP.

Apakah rancangan Neelofa selepas Raya, adakah akan kembali berlakon? Cuba pengacaraan lain, atau hanya buat perniagaan? 

Jujurnya, Lofa akan fokus pada bisnes. Berlakon, mungkin tidak buat masa sekarang. Tambahan pula, Lofa kerap terbang ke luar negara dan pada masa sama, Naelofar Hijab juga sedang melalui proses penstrukturan semula. Jadi, bisnes memerlukan lebih perhatian buat masa ni.

Setelah lama menguasai pasaran tudung mampu-milik menerusi Naelofar Hijab, adakah Lofa bercadang untuk lebarkan sayap perniagaan kepada busana atau kasut mahupun aksesori?

Buat masa ini, fokus Lofa masih pada Naelofar Hijab. Bukan tidak mahu untuk luaskan sayap perniagaan, cuma cabang baru memerlukan perhatian yang lebih banyak, terutama untuk baju dan aksesori. InsyaAllah, suatu hari nanti jika masa mengizinkan.

Apakah pendirian anda sendiri bila membabitkan cara mengekalkan perniagaan yang stabil dan baik? 

Kualiti menjadi keutamaan Lofa. Selain itu, setiap produk yang dipasarkan adalah produk mampu milik. Selain itu, visi yang jitu diperlukan selain perancangan teratur dan pasukan yang penuh kredibiliti.

 

Baca ini juga: Tip Mudah Menyimpan Tudung