Teknik Solekan Untuk Mata Sepet

Oleh itu, Jelita kongsikan beberapa teknik solekan untuk mata sepet.

Kebanyakan wanita di Asia memiliki mata yang agak kecil atau dipanggil ‘monolids’. Sudah tentu wanita yang memiliki mata sepet ini akan memfokuskan solekan pada bahagian mata agar tampak lebih besar dan cantik. Oleh itu, Jelita kongsikan beberapa teknik solekan untuk mata sepet.

Teknik Solekan Untuk Mata Sepet

Gambar: Shutterstock

Teknik Satu

Sapukan pembayang mata rona putih berkilau pada kawasan tulang kening. Ini adalah untuk memastikan tulang kening anda nampak lebih tinggi dan jadikan mata anda lebih besar. Teknik ini turut digelar sebagai highlight.

Teknik Dua

  • Gunakan pembayang mata rona coklat gelap dan sapukan di seluruh kawasan bebola mata. Ratakan pembayang mata melebih daripada kawasan bebola mata dan menghala ke sudut luar mata. Cara ini bertujuan untuk membentuk kelopak mata kerana mata sepet tidak mempunyai kelopak mata dan membantu mata anda kelihatan lebih besar.
  • Kemudian, sapukan pembayang mata rona gelap seperti hitam atau coklat tua di sudut luar mata anda. Adunkan warna gelap ini di sekeliling kawasan bebola mata seperti bentuk bulan sabit.
  • Seterusnya, highlightkan kawasan tengah bebola mata dengan warna putih.
  • Jangan lupa untuk sapukan juga pembayang mata di garisan bawah mata.

Teknik Tiga

Gunakan pembayang mata rona coklat terang dan adunkan (blend) bersama dengan pembayang mata di bahagian atas bebola mata tadi supaya rona pembayang mata anda akan berubah menjadi semakin cerah apabila menghampiri kawasan tulang kening.

Teknik Empat

Aplikasi penggaris mata akan membuatkan mata sepet anda kelihatan lebih besar secara semula jadi. Ini dua trik solekan menggunakan penggaris mata;

  • Lukiskan satu garisan nipis pada garisan atas mata sepet atau kawasan yang paling hampir dengan bulu mata untuk efek yang lebih segar.
  • Kemudian, lukiskan garisan tebal dan bersayap seperti gaya solekan popular di zaman 50-an dan 60-an. Penekanan di bahagian ini akan memberikan efek mata yang lebih galak. Gariskan separuh sahaja penggaris mata di bawah mata.

Teknik Lima

Pakaikan bulu mata palsu dan lentikkan dengan menggunakan pelentik bulu mata. Sapukan maskara agar mata anda kelihatan lebih galak dan besar.