Dapatkan Kulit Berseri Menjelang Aidilfitri

Tampil dengan kulit berseri menjelang Aidilfitri ini dengan tip yang Jelita kongsikan.

Tibanya Syawal, pasti ramai yang sudah menempah busana Raya yang menarik namun jangan lupa pada kecantikan kulit wajah anda. Tampil dengan kulit berseri menjelang Aidilfitri ini dengan tip yang Jelita kongsikan.

Gambar: Shutterstock

Krim SPF

Sebelum anda keluar mengunjungi rumah terbuka, pastikan anda pakai krim SPF. Langkah ini penting kerana pemakaian krim SPF adalah kunci kepada anti-penuaan.

Kacang Campuran

Setiap kali anda berbuka puasa, pastikan anda amalkan pengambilan kacang seperti walnut macademia kerana walnut kaya dengan omega-3. Asid lemak ini dapat mengurangkan keradangan kulit dan jerawat. Manakala, kacang macademia pula tinggi dengan minyak dan asid lemak yang berkualiti di mana ia mampu merawat dan meremajakan kulit.

Guna Serum

Jangan pandang rendah pada kebolehan serum. Ia sebenarnya dua kali ganda lebih efektif daripada losyen atau krim. Anda boleh melihat kesannya walaupun dengan penggunaan jumlah yang sedikit. Sebaiknya, anda mencari serum yang mengandungi anti-oksida dan kaya dengan kolagen kerana ia akan membuatkan kulit segar dan anjal serta-merta.

Bersihkan Skrin Telefon

Percaya atau tidak, mengikut kajian yang dilakukan oleh universiti antarabangsa, telefon pintar itu sebenarnya mempunyai lebih banyak bakteria daripada tempat duduk di tandas awam. Malah, ia juga mampu menyebarkan virus lebih pantas daripada anda bersin di hadapan muka seseorang. Jadi, setiap kali anda menggunakan telefon pintar, bahagian rahang dan pipi akan  mudah ditumbuhi jerawat akibat daripada bakteria dan virus yang terdapat di skrin telefon. Oleh itu, rajinkan diri untuk membersihkan skrin telefon dengan menggunakan tisu anti-bakteria.

Kurangkan Pengambilan Susu

Walaupun ia adalah organik namun produk tenusu mengandungi hormon lembu yang mana ia boleh mengaktifkan kelenjar minyak dan pori lantas menyebabkan jerawat. Jika anda tetap inginkan susu dalam secawan susu, gunakan skimmed milk. Itu pilihan yang paling bagus.

Berbuka Dengan Tembikai

Pastikan anda berbuka dengan buah tembikai kerana ia dapat membantu mengurangkan kerosakan pada kulit wajah akibat selaran matahari selain dapat menghilangkan rasa dahaga.

Kurangkan Mandian Air Panas

Mandi dengan air panas ada baik dan buruknya. Namun anda perlu tahu apabila anda kerap mandi air panas, pori akan terbuka dan ini akan menyebabkan lebih banyak kotoran masuk. Mandi dengan air panas juga  akan menyingkirkan minyak semula jadi kulit. Kaedah yang terbaik adalah selepas mandian air suam, bilas pula dengan air sejuk untuk menutup semula pori dan menyegarkan kulit.

Sentiasa Tidur Awal

Tidur yang mencukupi dapat membantu merawat kulit anda dan menjadikannya berseri keesokan hari. Sebaliknya, jika anda tidur sekejap, kulit anda akan tampak kusam dan pucat.

Sumber: EH!