5 Ilham Solekan Neon Selebriti Yang Boleh Anda Cuba

Solekan neon selebriti mana yang anda suka?

Bahangnya masih terasa, kemeriahan turut menyerlah apatah lagi dengan kehadiran barisan selebriti popular di parti #EHTOP20 anjuran majalah Eh! Malaysia pada 15 November lalu.

Mengorak kelainan pada acara kali ini, tema Starlight Neon memperlihatkan tetamu melangkah ke majlis gilang-gemilang ini di Le Meridien, Kuala Lumpur dalam busana mengikut tema. Setiap tahun majalah Eh! memberi penghargaan kepada 20 selebriti terpilih yang kebanyakannya nama-nama baru yang bakal mewarnai dunia digital anda.

Tidak lengkaplah penampilan selebriti dan personaliti yang hadir jika rias wajah tidak pula sempurna, ada yang berani mengenakan tema serupa. Lihat sendiri seleksi lima selebriti dengan solekan neon paling menawan pilihan Jelita.

Ain Edruce – Solekan Bubu

Ain Edruce adalah seorang daripada selebriti yang menaiki pentas menerima penghargaan sebagai #EHTOP20. Dia antara selebriti yang cukup versatil bila mengenakan solekan. Letak apa jua konsep pada wajah, jarang ianya tidak menjadi. Pada malam itu, Ain tampil dengan solekan neon nan berani. Memilih untuk menumpukan pada bahagian bibir, matanya dibiar dengan solekan lebih ringan namun, Ain mengenakan gincu rona ungu yang sepadan dengan busana yang digayakannya pada malam itu. Jelita suka dengan keberanian Ain menggayakan warna yang jarang ingin digayakan oleh wanita lain.

Sissy Iman- Solekan Le Beaute By Jibs Salim

Peserta Big Stage ini juga turut hadir dengan penampilan yang anggun. Mengenakan busana biru berkilau, solekan Sissy Iman juga menggunakan konsep kilauan yang sama. Dia hadir dengan solekan mata yang galak. Menggunakan pembayang mata rona biru berkabut dipadankan dengan pembayang mata hijau tampak kekuningan terang memberikan efek neon smokey pada rias wajah Sissy.

Intan Najuwa – Solekan Nad Ismail

Sama seperti Sissy, Intan Najuwa juga tampil dengan solekan mata bertemakan neon. Intan Najuwa mengenakan pembayang mata rona jingga terang yang sememangnya sinonim dengan tema neon kemudian dilayang dengan dedebu keemasan bagi memastikan tumpuan pada matanya yang cantik. Ia juga sepadan dengan busana jingga yang digayakannya pada malam itu.

Azira Shafinaz – Solekan Syed Dewa

Anda juga boleh mengambil ilham daripada solekan yang dikenakan anggota DeFam, Azira Shafinaz. Menggunakan pembayang mata dengan tiga rona warna ungu yang berbeza. Mulakan dengan rona ungu gelap pada bahagian kelopak mata dan kemudian padankan dengan warna ungu terang pada bahagian atas mata. Tambahkan pembayang mata ungu neon di antara dua rona pembayang mata tersebut untuk memberikan efek solekan neon.

Aishah Azman – Solekan Khai Baha

Pelakon, Aishah Azman pula tampil dengan solekan mata rona biru. Solekan mata Aishah ini kelihatan lain daripada solekan mata yang biasa. Lakaran penggaris mata biru terang ini digarisi sekelilingnya bagi mencipta kelainan dan memberi definisi jelas. Jika dibelek, makin menyerlah sisiran bulu matanya yang panjang itu. Bagi mengimbangi riasan, pembayang mata rona tanah dinatar hingga ke bawah kening. Bahagian pipi dan bibir mendapat sentuhan manja namun mengilau, bermakna mata adalah tumpuan utama solekan Aishah, membuatnya tampak lebih seksi daripada biasa.

Sumber Gambar: Instagram