Cara Memakai Kanta Lekap Yang Betul

Inilah cara yang betul untuk memakai kanta lekap

Memakai kanta lekap sudah menjadi trend di kalangan rakyat Malaysia. Ada yang memakai kanta lekap kerana rabun dan ada juga yang memakai kata lekap kerana inginkan warna mata yang menarik. Namun, penggunaan kanta lekap memerlukan penjagaan yang rapi dan cara memakainya juga haruslah betul untuk mengelakkan ia merosakkan mata anda.

Gambar: Shutterstock

Cara Memilih Kanta Lekap

Sebelum anda bercadang untuk memakai kanta lekap, anda harus tahu cara memilih kanta lekap yang sesuai:-

  • Menurut Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, penjagaan kanta lekap lembut yang jenis pakai buang adalah antara jenis kanta lekap yang sangat mudah dan selamat. Kos penjagaan dan risiko untuk mendapat jangkitan mata juga sangat rendah.
  • Pastikan kanta lekap yang dipilih adalah daripada syarikat yang diiktiraf kerana ia berkualiti tinggi dan dijamin selamat.
  • Pilih kanta lekap yang nipis tetapi mempunyai kandungan air yang tinggi, lebih daripada 48 peratus untuk memastikan keselesaan sepanjang hari.
  • Jika anda ingin memakai kanta lekap untuk tempoh masa yang lebih panjang, anda digalakkan untuk memakai kanta lekap silikon. Ia juga dapat mengurangkan risiko jangkitan atau radang mata.
  • Pastikan kanta lekap yang dipilih mempunyai diameter yang sesuai dengan saiz mata hitam supaya ia tidak nampak keterlaluan.

Cara Memakai Kanta Lekap

  1. Pastikan anda bersihkan tangan dengan pencuci tangan anti-bakteria tanpa pewangi dan lap dengan tuala bersih. Jangan gunakan tuala mandi.
  2. Goncangkan bekas kanta lekap yang mengandungi cecair kanta lekap agar ia tidak melekat pada bekas. Elakkan daripada mengambil kanta lekap yang melekat dengan jari kerana ia boleh merosakkan kanta lekap tersebut.
  3. Letakkan kanta lekap pada jari telunjuk. Pastikan kanta lekap berbentuk sempurna (separuh bulat) seperti bentuk mata hitam.
  4. Pastikan kedudukan kanta lekap tidak terbalik. Bentuk yang betul adalah separa bulat dan kedudukan yang salah adalah apabila kanta lekap nampak lebih lonjong ke bawah.
  5. Buka mata dengan luas sambil memandang ke hadapan. Elakkan dari memandang ke bawah atau ke atas.
  6. Tahan mata dari berkelip dengan jari tangan sebelah lagi dan letakkan kanta lekap pada mata.
  7. Tutupkan mata buat beberapa saat sambil pusingkan mata untuk membetulkan kedudukan kanta lekap pada mata.
  8. Buka mata dan lihat pada cermin untuk pastikan kedudukan adalah betul. Kedudukan kanta lekap yang betul adalah apabila anda dapat melihat dengan jelas dan terang tanpa rasa tidak selesa.
  9. Titiskan cecair khas untuk mata dengan kanta lekap ke dalam mata.
  10. Untuk menanggalkan kanta lekap, gunakan jari telunjuk dan ibu jari untuk memicit kanta lekap dengan lembut.
  11. Penggunaan maksimum untuk kanta lekap adalah lapan jam
  12. Setelah kanta lekap dibuka, simpa di dalam bekas dengan cecair khas. Jangan gunakan air paip.
  13. Buangkan kanta lekap yang sudah melepasi tarikh luput.
  14. Elakkan memakai kanta lekap tujuh hari berturut-turut. Biarkan mata anda berehat pada hari keenam atau pada hujung minggu.

Sumber: MyHEALTH.gov dan profhariz.com