Cakenis Ungguli Batik Untuk Raya

Kongsi tip penting mantapkan perniagaan online.

Kongsi tip penting mantapkan perniagaan online

Antara yang unik dan menarik perhatian Jelita, Hanis Zalika, aktres dan usahawan popular memperkenalkan tudung bermotifkan batik buat Syawal 2019.

Hanis menggayakan BLUSH

Ia dihasilkan dalam kuantiti terhad bagi mengekalkan eksklusiviti berikutan ramai peminat jenama tudung #Cakenis ini meminta agar lebih banyak tudung dan selendang bercorak dikeluarkan.

“(Justeru) Batik dipilih untuk koleksi kali ini kerana ianya satu motif yang takkan lapuk dek zaman, timeless! Hanis gemar motif batik sejak dulu lagi dan suka kelembutan dan keanggunan yang wujud dalam ciri batik,” katanya kepada Jelita dalam satu wawancara eksklusif menerusi Whatsapp.

ASH

Bagi koleksi yang diberi nama Batik Cake ini, ia adalah koleksi daripada Cakenis yang diintepretasikan secara moden dengan bahasa Cakenis tersendiri. “Tiada kaitan dengan kek batik, hanya sekadar word play, kerana setiap helaian Cakenis digelar ‘Cake’ sebagai satu signifikasi,” jelasnya.

ASHLEY

Sempat juga Jelita bertanya mengenai selebriti Malaysia yang cukup rajin menambah rezeki menerusi perniagaan (selain lakonan atau nyanyian) yang kami anggap adalah tabiat sihat. Lantas soalan kami buat wanita yang sedang sarat hamil ini; Apakah pendirian Hanis menjadi seorang usahawan yang turut memegang status selebriti?

“Menjadi selebriti dalam bidang perniagaan adalah satu tanggungjawab dan amanah yang sangat besar. Ini kerana kita menjadi ikutan ramai dan setiap keluaran dan anjuran daripada kita haruslah datang dengan kredibiliti dan integriti. Pendirian peribadi Hanis ialah setiap satu yang datang dari perniagaan saya haruslah sesuatu yang saya sendiri guna, gayakan atau amalkan. Tidak boleh cakap kosong sekadar melakukan produk,” katanya.

BLUSH

Makin ramai juga yang menggunakan media sosial sendiri untuk memasar dan mengetengahkan produk. Apakah pula nasihat Hanis juga ibu kepada Yusuf Iskandar ini agar platform ini digunakan dengan sebaik mungkin?

“Jauhi drama! Elakkan helah pemasaran murahan. Fokus kepada sasaran pasaran anda dan berilah manfaat kepada mereka, dengan atau tanpa produk. Ini adalah platform tambah nilai kepada masyarakat melalui perniagaan kita,” tegasnya.

Bercakap mengenai laman media sosial, adakah Hanis berfikir panjang sebelum memuat naik apa saja?

 

Hanis menggayakan ASHLEY manakan model menggayakan OYSTER

“Pastinya sentiasa post perkara yang positif dan perkongsian yang bermanfaat. Maksud bermanfaat juga tidak semestinya terlalu berat. Kalau ia kandungan ringan dan mampu menghiburkan pengikut, saya anggap sebagai satu sumbangan dalam dunia maya. (Anda kena ingat untuk) Sentiasa menjaga sensitiviti ramai pihak, terutamanya agama dan keluarga.”

Pada masa sama, Hanis tidak menolak akan ‘kuasa’ kedai alam maya berikutan ini adalah zaman digital. “Kami sendiri lebih kepada kedai dalam talian namun tidak menolak kelebihan kedai fizikal kerana ia ada mileage tersendiri dalam penjenamaan. Tetapi untuk Cakenis, belum lagi ke arah itu,” kata Hanis yang juga isteri tersayang kepada aktor, Hairul Azreen.

CREAM

Koleksi #BatikCake untuk Raya 2019 ini hadir dalam bentuk empat segi dan selendang pada harga RM180 setiap satu.

SNOW

Ada enam pilihan warna: Ashley, Oyster, Blush, Cream, Snow dan Ash dan boleh didapatkan di fashionvalet.com.

OYSTER