Busana istimewa buat Tuanku Raja Pemaisuri Agong

Rekaan 'tukang jahit' terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim.

Umpama satu roh dua jasad! Datuk Rizalman Ibrahim telah diberi peluang menggalas tanggungjawab besar untuk menghasilkan 18 pasang busana untuk keluarga diraja termasuk dua pasang yang dipakai oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan puterinya sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-16 yang berlangsung di Istana Negara. Persahabatan Tuanku Azizah dan Datuk Rizalman yang terjalin sejak 15 tahun lalu kekal sehingga kini diatas perkongsian minat yang sama dalam rekaan hiasan dalaman dan memasak. Datuk Rizalman juga sangat bersyukur apabila kesemua berjalan dengan lancar dan berpuas hati dengan rekaan yang dihasilkan untuk kelurga diraja itu. Selain mereka busana, Datuk Rizalman turut diberi kepercayaan untuk membuat hiasan dalaman di Balairong Seri Istana.

Baju kurung rona putih gading yang disarungkan oleh Tuanku Raja Pemaisuri Agong semasa Hari Pertabalan bersama selendang yang mempunyai sulaman kerawang pada hujung selendang dan dipenuhi dengan manik. Selain itu, busana diraja yang dipakai oleh Tuanku Raja Permaisuri Agong ditenun oleh penghuni penjara Penor dan Bentong dimana ilham tersebut adalah dari Tuanku Azizah sendiri untuk menenun corak colek yang berlambang kebesaran Pahang iaitu gading dan tombak serta lambang kebesaran Johor iaitu bulan dan bintang menggunakan benang pakan perak. Kerawang pada baju kurung tersebut juga ditenun satu persatu dan dilengkapi pula dengan manik, berlian, mutiara dan kepingan emas. Istimewanya kepingan emas itu dipinjam daripada bonda baginda, Almarhum Tengku Puan Zanariah Tengku Ahmad untuk mengembalikan nostalgia turun temurun zaman dahulu. Kepingan emas itu juga turut dipenuhi pada kain kurung Tuanku Azizah mengikut susunan bunga kombinasi hak milik kerajaan negeri Pahang serta Johor. Cukup mewah dan elegan! Tambahan pula digayakan oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang begitu jelita, santun dan berjiwa rakyat.

Rekaan baju kurung yang tidak mempunyai pesak mahupun kekek itu menterjemahkan setiap sisi istimewa Tunku Azizah yang meminati fabrik seperti songket, batik dan tenun untuk digayakan. Kemuliaan hati Tuanku Azizah terserlah apabila baginda yang begitu berpengaruh mengangkat nilai estetika hasil kerja tangan banduan untuk disarungkan pada Hari Pertabalan.

View this post on Instagram

lepas ni agaknya banyakla wedding2 pakai mcm ni

A post shared by rizalman71 (@rizalman71) on

Datuk Rizalman juga membantu melilit tudung serta meletakkan aksesori pada Tuanku Raja Permaisuri Agong semasa Hari Pertabalan. Selain itu, sejarah berulang apabila baju kurung yang pernah dipakai oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika Istiadat Pertabalan Ayahanda Baginda Almarhum Sultan Iskandar Al- Haj pada 1984 dipakai semula oleh YAM Tengku Puteri Jihan (kedua dari kiri) pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI semalam hasil diubahsuai oleh Datuk Rizalman mengikut saiz puteri baginda.

Daulat Tuanku merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah!

Sumber info & gambar: Berita Harian, Instagram Datuk Rizalman dan Istana Negara

Lihat juga: Anda Mahu Pakai ‘Lofa’?