Bagaimana Mencipta Solekan Tidak Mudah Luntur?

Cuba tip solekan ini agar solekan Raya anda tidak mudah luntur!

Selain daripada ingin menaikkan seri wajah, fokus utama apabila merias kanvas solekan ialah untuk memastikan solekan itu tahan lama.

Pernahkah anda mengalami situasi yang mana belum sampai ke petang, solekan sudah pun luntur dan cair, malah kesan bedak asas kelihatan bercapuk dan tidak rata?

Ini sering terjadi tambahan lagi sekarang dengan cuaca yang sangat panas. Solekan mudah pudar dan tidak melekat pada wajah. Bukan itu sahaja,wajah juga kelihatan berminyak terutamanya pada zon T lantas menjadikan keseluruhan riasan wajah tidak naik seri, kusam dan tidak tahan lama.

Sempena meraikan isu Lebaran ini, Jurusolek Profesional Nars, Marcus berkongsi dengan pembaca Jelita lima langkah asas yang harus anda aplikasikan jika ingin memastikan solekan itu kekal lebih lama pada wajah dan kelihatan segar sepanjang hari.

Menurut Marcus, tip penting bagi memastikan kanvas solekan kekal segar sepanjang hari ialah prep kulit wajah dengan serum dan pelembap sebelum memulakan aplikasi solekan. Ini membantu menjadikan tekstur kulit lebih lembut dan kekal terhidrat.

“Penggunaan serum dan krim pelembap bertindak untuk memberikan nutrisi kepada kulit agar ia lebih lembap dan sihat. Apabila kulit sudah lembap dan sihat, barulah warna yang dioleskan mudah melekat pada kulit wajah dan memberikan kompleksi solekan yang lebih halus.

Bukan itu sahaja, untuk memastikan solekan kekal lama, penggunaan primer sangat penting dalam asas solekan. Ia membantu memberikan kemasan solekan yang lebih sekata dan tidak berbelak. Selain itu, sebaiknya pilih pemerah pipi daripada jenis cecair yang ringan ataupun bertekstur krim berbanding dedebu kerana teksturnya yang lebih mudah menyerap ke dalam kulit wajah,”katanya.

LANGKAH DEMI LANGKAH

PERSIAP WAJAH – Mulakan dengan sapuan krim pelembap pada keseluruhan wajah, Kemudian, bina asas solekan dengan mengaplikasi primer dan cecair bedak asas. Ratakan dengan kaedah urutan menggunakan jari.

 

LINDUNGI CELA – Selepas itu, tutup lingkaran gelap bawah mata dan cela pada wajah dengan penyamar noda.

‘GLOW’ WAJAH – Selepas asas solekan sudah siap, calitkan krim highlighter pada tulang pipi untuk menaikkan seri dan berikan efek berkilau pada wajah.

 

SERLAHAN MANIS – Kemudian, layangkan dengan nipis pemerah pipi dan buah pipi untuk efek lebih manis.

BIBIR MEKAR – Sudahkan riasan wajah dengan olesan gincu bertekstur kilau untuk berikan kemasan segar dan basah pada bibir.