Tambah Seri Dengan Astute Flawless Skin Laser

Untuk tekstur wajah lebih lembut dan tona lebih sekata.

Boleh digelar perawatan waktu makan tengahari, Astute Flawless Skin Laser mampu menyerlahkan kondisi kulit wajah anda dengan menghasilkan kulit gebu dan lembut.

Dengan hanya 90 minit waktu perawatan, dicampur dengan kira-kira 20 minit untuk membolehkan kulit rasi dengan krim kebas disapu pada seluruh wajah, anda boleh meraih kulit berseri yang diinginkan. Berbeza dengan perawatan seperti facial, Astute Flawless Skin Laser mensasarkan sehingga ke dalam kulit sambil mengejutkan kilang kolagen bagi membolehkan ianya berfungsi lebih baik untuk mencantikkan kulit anda.

Astute Clinic yang terletak di DC Mall, Bukit Damansara memperkenalkan perawatan laser terbaru ini yang menggunakan teknologi laser inovatif iaitu Sylfirm. Ketika ini, hanya tiga pusat aestetik memiliki mesin ini di Malaysia dan laser Sylfirm mampu bertindak sebagai perawatan-pelbagai untuk semua jenis kegusaran kulit daripada dalam ke luar. Lantas, ia mampu meminimumkan masalah kulit daripada berulang.

Dr Jason Yip sedang melakukan perawatan pada wajah pelanggannya.

 

Menurut Dr Jason Yip, pemilik Astute Clinic, wanita yang mempunyai kulit dengan bekas jerawat atau tona tidak sekata sesuai menjalani perawatan ini. “Anda boleh melihat perbezaannya apabila tekstur kulit menjadi lebih lembut dan parut bekas jerawat tampak lebih cerah,” katanya ketika Jelita mengunjungi klinik berkenaan baru-baru ini.

Selain itu, perawatan ini juga sesuai untuk:

*MELASMA – masalah kulit yang disebabkan oleh tompok keperangan, terutamanya pada kulit wajah.

*ROSACEA – keadaan kulit yang disebabkan oleh kemerahan pada kawasan hidung, pipi, dagu dan dahi.

*WAJAH NAIK MERAH SECARA MELAMPAU (biasanya akibat reaksi pada perasaan tertentu)

Menurut Astute Clinic, Sylfirm mampu mensasar pada saluran darah tidak normal pada dermis (lapisan kulit dalam) yang menyumpang kepada pembinaan Rosacea dan Melasma, merawat masalah itu daripada puncanya tanpa merosakkan epidermis (lapisan kulit teratas).

Selain itu, Sylfirm juga berkesan mengurangkan garisan halus, menyekatakan tona kulit, mengetatkan pori wajah, mengurangkan parut dan pigmentasi pada masa sama, memperbaiki keadaan kulit supaya anda boleh meraih keadaan kulit segebu bayi kecil!

Untuk hasil lebih hebat, anda perlukan antara lima ke 10 sesi, jurang antara dua ke tiga minggu untuk mendapatkan kulit yang diingini, bergantung kepada keadaan kulit wajah anda. Mungkin terasa agak lama, tetapi begitulah kiranya jika mahukan keputusan yang memuaskan, memerlukan masa dan kesabaran. Siapa kata mudah untuk terus jadi cantik?

BILA JELITA PERGI CUBA…

Selepas menetapkan waktu temu janji, anda akan berjumpa doktor terlebih dulu agar dia boleh memeriksa keadaan kulit anda dan memberikan konsultasi yang tepat. Malah, doktor akan menasihatkan jika perawatan ini bersesuaian atau perlu mencuba perawatan jenis lain. Pada sesi ini, sebaiknya anda tanya semua soalan yang diperlukan supaya tiada rasa gusar sewaktu melakukan perawatan.

Antara soalan yang wajar ditanya;

  1. Lama manakah perawatan akan dijalankan?
  2. Apakah yang terbabit dalam setiap langkah proses?
  3. Adakah gambar sebelum dan selepas akan digunakan untuk promosi klinik? (Jawapannya tidak, melainkan anda mengizinkannya)
  4. Adakah tempoh berpantang selepas melakukan perawatan?
  5. Apakah rutin penjagaan wajah berubah selepas perawatan?
  6. Adakah sesi perawatan sakit? (kerana tentu ada sebab krim kebas digunakan, betul tak?)
  7. Berapa lama sehingga hasil akan kelihatan?
  8. Perlukah mengulang perawatan?

 

Bila semua sudah dijawab (sehingga anda berpuas hati, jangan risau kalau doktor akan rasa meluat, itu hak anda untuk bertanya dan mendapatkan jawapan tepat), anda akan dibawa ke bilik perawatan untuk menanggalkan tudung (baju tidak perlu ditanggal pun). Wajah anda akan dibersihkan daripada solekan sebelum krim kebas disapu pada seluruh wajah. Sewaktu menunggu krim kebas memberi kesannya, anda bolehlah bermain dengan telefon bimbit atau periksa emel pejabat.

Selesai waktu menunggu, krim kebas akan dibersihkan daripada wajah dan doktor akan memulakan prosedur. Menariknya mengenai cara Dr Yip, dia akan memberitahu jika ada kawasan tertentu di mana ada terasa lebih sakit daripada bahagian lain. Pada masa sama, anda masih boleh bersembang untuk mengalihkan fokus pada sesi perawatan.

Sakitkah? Bagi Jelita, ya sakit tetapi tidaklah sehingga mengundang rasa hendak menjerit atau hingga menitiskan air mata. Masih boleh tahan. Lebih bagus, anda boleh beritahu doktor jika ada bahagian mana-mana yang terasa kurang selesa. Dia akan cuba sedaya upaya untuk buat anda mahu meneruskan perawatan sehingga selesai.

Usai sesi perawatan, seluruh wajah anda akan kelihatan merah bekas dilaser, tetapi jangan gusar. Selepas dua jam, semuanya akan hilang dengan eloknya.

PENJAGAAN SELEPAS SYLFIRM

Biasanya selepas perawatan, kulit akan terasa kering, kesan daripada laser. Adalah penting untuk anda sentiasa memastikan kulit mendapat penghidratan yang sebaiknya. Gunakan krim pelembap dengan tekstur tebal daripada yang biasa juga ditambah dengan masker wajah.

Bagusnya mengenai perawatan ini, anda boleh mengenakan solekan sehari selepas laser dan melihat bedak asas cecair terletak elok kerana tekstur wajah lebih elok dan sekata. Malah, ada yang menegur solekan nampak lebih terletak walaupun baru sehari melakukan Astute Flawless Skin Laser.

Jika anda berminat untuk ketahui lanjut, boleh layari www.astuteclinic.com