‘Kerusi Ajaib’ Untuk Pulihkan Otot Lantai Pelvis

Rawatan rapatkan laluan rahim tanpa perlu menanggalkan pakaian anda.

Bila wanita mencapai usia tertentu, otot tubuh juga pada bahagian pelvis akan berdepan masalah kelonggaran dan sesetengahnya akan mengalami inkontinens urinari, dalam bahasa lebih mudah – sukar menahan kencing, terutama bila batuk atau bersin.

Gambar: Shutterstock

 

Kejadian sebegini bukan saja menyukarkan rutin harian, malah bagi sesetengah wanita, ia turut mencemar keyakinan diri. Malah, jika ianya dibiarkan berterusan boleh menjejaskan hubungan suami isteri di ranjang. Selain faktor usia yang meningkat, sebab lain turut dikaitkan dengan wanita yang sudah melahirkan anak dan ianya makin terjejas bila jumlah anak dilahirkan meningkat.

Selain senaman lantai pelvis seperti Kegel, ada rawatan aestetik seperti laser pada bahagian laluan faraj untuk mengetatkan semula kawasan berkenaan. Namun, tidak semua wanita mungkin mahu atau bersedia untuk kaedah sedemikian biarpun sudah sekali atau beberapa kali ‘menyerah diri’ bila perlu melahirkan anak di hospital. Bagi mereka, untuk menanggalkan pakaian kemudian membenarkan rawatan secara laser pada kawasan kemaluan mungkin bukan sesuatu yang ideal.

Kini, ada satu kaedah menggunakan mesin atau Jelita turut gelarkannya sebagai ‘kerusi ajaib’ yang tidak memerlukan anda membuka pakaian sekali pun. Secara asasnya, anda hanya perlu luangkan masa sekitar 30 minit untuk duduk di atas kerusi ini dan mesin itu akan melakukan magisnya pada kawasan sasaran berkenaan. Kebiasannya, anda perlu mengulan sesi rawatan antara empat ke enam kali, mengikut tahap keseriusan permasalahan anda dan dengan nasihat doktor.

Seorang daripada team Jelita, Kalaivani, 50 telah pergi mencubanya, dan ternyata dia amat berpuas hati. “Saya mengalami masalah inkontinens urinari sejak melahirkan anak kedua di mana saya banyak kali berdepan kebocoran dan sukar menahan kencing,” katanya yang menambah turut mengalami kekeringan pada faraf serta kurang keinginan berikutan sedang melalui praputus haid.

Lantas, dia telah diperkenalkan kepada rawatan Femiva Pelvic Care menggunakan BTL Emsella di Klinik Alainn dan tanpa ragu, dia bersetuju untuk mencubanya.

Menurut Kalaivani, selepas sesi ketiga, dia dapat merasakan perbezaan pada daya tahan lantai pelvis. “Saya boleh menahan kencing dengan lebih baik, tiada lagi masalah kebocoran! Selain itu, saya tidak berdepan kekeringan seperti dulu malah hubungan intimasi juga makin baik,” kongsinya.

Berikutan setiap sesi BTL Emsella bersamaan dengan 11,000 senaman Kegel, Kalaivani berkata, pada hari-hari biasa tanpa disedari, dia juga akan melakukan senaman itu secara automatik.

Menurut laman Alainn Clinic, BTL Emsella menggunakan teknologi High-Intensity Focused Electromagnetic (HIFEM) yang menyebabkan stimulasi otot lantai pelvis juga pembaikan kawalan neuromuskular. Sasaran utama bagi stimulasi otot lantai pelvis adalah untuk menguatkan sfinkter urinari yang lemah juga otot lantai pelvis itu sendiri.

Namun, jika anda mempunyai alat IUCD (mencegah kehamilan) pada dalam tubuh, anda tidak dibenarkan melakukan rawatan ini.