Anda Mahu Pakai ‘Lofa’?

Neelofa mula meluaskan pengaruhnya dalam cabang baru.

Sekarang anda boleh pakai ‘Lofa’! Tapi bukanlah orangnya, tapi mana-mana helaian pakaian street wear di bawah jenama LofaBrand yang baru saja dilancarkannya.

Menurut siaran media dikongsikan secara eksklusif kepada Jelita awal minggu ini, Neelofa yang juga pelakon dan pengacara berkata, LofaBrand ini memasarkan koleksi pengenalan merchandise premium.

“Idea untuk memasarkan merchandise yang terdiri daripada koleksi pakaian dan aksesori tersebut tercetus sejak tiga tahun lalu, dengan harapan dapat memberi semangat kepada orang ramai untuk maju dalam setiap apa yang dilakukan. LofaBrand sangat istimewa kerana saya mahu sesiapa yang memakainya memperoleh inspirasi dengan perjalanan karier saya dalam bisnes.

“Saya juga mahukan si pemakai merasai adrenalin yang saya rasa sepanjang aktif dalam bidang perniagaan,” katanya.

Namun, dia turut  menegaskan yang koleksi ini tiada kena mengena dengan Naelofar Hijab yang fokus terhadap pengeluaran hijab dan pakaian sopan (busana santun).

Menurut Neelofa lagi, jenama LofaBrand cukup istimewa memandangkan segala jenis merchandise dibikin di London, England.

“Sebenarnya, saya mengambil masa selama tiga tahun untuk merealisasikan impian ini kerana mahu mencari pengilang dari luar negara. Justeru, menerusi lawatan ke London tahun lalu, saya bertemu dengan pengilang yang sesuai dengan jenama ini dan menganggap itu masa yang sesuai untuk memulakan jenama ini.

“Setiap merchandise direka dan dihantar terus dari sana. Saya sendiri tidak menyimpan stok di sini. Urusan jual beli juga dijalankan secara dalam talian,” katanya lagi.

Neelofa menambah, pernah timbul rasa sangsi untuk meletakkan namanya sebagai jenama merchandise yang diusahakannya itu. “Saya berfikir panjang sebelum meletakkan nama Lofa sebagai jenama. Saya tertanya sendiri, adakah jenama ini akan kekal lama? Tetapi, saya paksa hati saya untuk percaya dengan diri sendiri demi melihat jenama ini berjaya,” kongsinya.

Merchandise premium yang dilancarkan ini adalah titik permulaan bagi LofaBrand.

“Akan ada banyak lagi koleksi yang akan diumumkan pada masa akan datang,” katanya.

Merchandise premium LofaBrand boleh dibeli menerusi laman web ini.

 

Baca juga: Neelofa Tercalon Influencer Awards 2019